Selasa, 2 Ogos 2022 | 1:59pm
Azeem kini memegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat.
Azeem kini memegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat.

Jurulatih yakin Azeem mampu lebih pantas

KUALA LUMPUR: Jurulatih pecut, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah optimis anak didiknya, Muhammad Azeem Fahmi mampu mencatatkan masa yang lebih pantas dalam saingan separuh akhir 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia, awal pagi esok.

Terdahulu, pelari berusia 18 tahun itu mencipta sensasi apabila meleburkan rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) untuk mengungguli saringan lapan dan seterusnya layak ke peringkat separuh akhir, awal pagi tadi.

Amir berkata dengan persaingan kompetitif pada kejohanan kali ini selain kesungguhan yang ditunjukkan atlet kelahiran Perak itu, dia percaya Azeem mampu mencatatkan masa yang lebih pantas di pentas separuh akhir dan turut berpeluang untuk merekodkan catatan di bawah 10s.

"Dengan keazaman yang ditunjukkan dia, dia boleh buat catatan lebih pantas di separuh akhir, sasaran untuk buat di bawah 10s juga bukan satu yang mustahil.

"Jika dulu saya sasarkan untuk dia melakukan masa bawah 10s itu dua tahun lagi tetapi dengan persaingan yang ada di Cali ini, saya rasa dia boleh lakukannya," katanya yang turut bersama Azeem di Cali.

Catatan direkodkan Azeem itu menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s ketika menjuarai saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.

Amir berkata pencapaian dilakar atlet muda negara itu sememangnya sesuatu di luar jangkaan apabila menyifatkan berlaku terlalu awal.

"Ia sesuatu yang di luar jangkaan. Saya memang percaya dia boleh pecahkan rekod tetapi bukan sekarang sebaliknya di kejohanan lain.

"Selepas melihat kejayaan dia, saya sendiri kelu tidak dapat berkata apa-apa. Melihat daripada apa yang dia lakukan, Azeem sangat gembira dengan pencapaian prestasi yang dilakukannya itu," kata Amir.

Pencapaian Azeem juga menyaksikan dia kini mendahului senarai pelari terpantas Asia pada peringkat remaja mengatasi atlet Jepun berusia 19 tahun, Hiroki Yanagita yang memiliki catatan 10.16s.

Lebih menarik, catatan berkenaan adalah yang kedua terpantas daripada semua lapan saringan yang berlangsung dengan Azeem berada di belakang atlet Botswana, Letsile Tebogo yang mencipta rekod baharu kejohanan dengan catatan 10.00s.

Tebogo juga adalah pemegang rekod remaja dunia dalam acara itu dengan catatan 9.94s.

Berita Harian X