Selasa, 2 Ogos 2022 | 12:11pm
Azeem (tengah) ketika aksi 100m awal pagi tadi.
Azeem (tengah) ketika aksi 100m awal pagi tadi.

Peminat percaya Azeem mampu catat bawah 10s

KUALA LUMPUR: Kejayaan bintang muda negara, Muhammad Azeem Fahmi memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter dengan catatan 10.09 saat (m) di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, awal pagi tadi mendapat perhatian rakyat Malaysia.

Menerusi komen di Facebook BH Online, peminat sukan tempatan tidak melepaskan peluang mengucapkan tahniah dan melahirkan rasa bangga di atas pencapaian yang dilakar pelari berusia 18 tahun dari Perak itu.

Malah, dengan bakat luar biasa dimiliki Azeem, ada segelintir peminat menyuarakan keyakinan atlet pecut negara itu mampu merekodkan catatan di bawah 10s jika terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasinya.

Seorang pengikut di Facebook BH Online yang menggunakan nama Zulkefli Darus, berkata: "Tahniah Azeem dengan prestasi yang mengagumkan dan tidak mustahil suatu hari nanti Azeem mampu mencatatkan di bawah 10s. Semoga Azeem terus berjaya, kekal disipliin dan jangan sesekali hanyut dalam pujian serta keegoan, tahniah sekali lagi.

Abdul Rahman pula berkata: "Tidak mustahil boleh catat bawah 10s jika dijaga baik-baik dan dilatih baik-baik mamat ini."

Velontino VJ turut menyuarakan perkara sama dan berkata: Tahniah…berlatih kuat lagi dan jaga diet pemakanan…bina otot itu lagi, boleh pergi bawah 10s."

Dalam pada itu, ada juga dalam kalangan peminat sukan tempatan menyuarakan pendapat untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menghantar Azeem berlatih di Amerika Syarikat (AS) iaitu negara yang sering menjadi pangkalan latihan atlet buat jaguh olahraga dunia termasuk dari Jamaica.

"Kalau mahu bagi dia hebat lagi KBS kena hantar dia pergi berlatih di kem olahraga di Florida, tempat atlet AS dan Jamaica berlatih dan boleh 'sparring' dengan mereka. Barulah hebat," kata Aalie M Mat.

Khairul Anuar Zamburi pula berkata: "SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dia ok, jadi ada baiknya KBS atau MSN (Majlis Sukan Negara) hantar dia belajar dengan AS sambil itu boleh berlatih dengan nama besar di sana. Pertandingan pun banyak. Shereen Samson Vallabouy (atlet 400m wanita negara) pun ada di AS."

Sementara itu, pencapaian Azeem di Colombia turut mendapat perhati Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

"Pencapaian luar biasa dari bumi Colombia!!!. Teruskan momentum kejayaan ini Azeem," katanya dalam ciapan di Twitter.

Terdahulu, Azeem mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09s sekali gus mengungguli saingan bagi saringan lapan dan melangkah ke peringkat separuh akhir.

Catatan direkodkan Azeem itu menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s ketika menjuarai saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.

Lebih menarik, catatan berkenaan adalah yang kedua terpantas daripada semua lapan saringan yang berlangsung dengan Azeem berada di belakang atlet Botswana, Letsile Tebogo yang mencipta rekod baharu kejohanan dengan catatan 10.00s.

Tebogo juga adalah pemegang rekod remaja dunia dalam acara itu dengan catatan 9.94s.Rekod dunia dalam acara 100m dipegang bekas jaguh pecut Jamaica, Usain Bolt dengan catatan 9.58s yang dilakukannya di Berlin, Jerman pada 2009.

Di benua Asia, rekod terpantas menjadi milik atlet China, Su Bingtian yang mencatatkan masa 9.83s manakala di peringkat Asia Tenggara, Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia muncul pelari terpantas dengan catatan 10.03s.

Azeem yang berasal dari Ipoh, Perak akan meneruskan aksinya di peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung awal pagi esok.

Berita Harian X