Selasa, 2 Ogos 2022 | 11:32am
Azeem memohon doa rakyat Malaysia bagi meneruskan aksi ke final. - Foto ihsan Instagram Azeem Fahmi
Azeem memohon doa rakyat Malaysia bagi meneruskan aksi ke final. - Foto ihsan Instagram Azeem Fahmi

Azeem mohon doa rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Bintang muda negara, Muhammad Azeem Fahmi yang memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter (m) di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, awal pagi tadi memohon doa rakyat Malaysia dalam misinya untuk melayakkan diri ke pentas final.

Pelari berusia 18 tahun itu, berkata fokusnya kini adalah untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi saingan peringkat separuh akhir dan seterusnya mengintai peluang bagi meloloskan diri ke pusingan akhir.

"Terima kasih semua di atas ucapan. Alhamdulillah untuk segalanya. Separuh akhir dan diharapkan final.

"Buat seluruh rakyat Malaysia, hanya satu yang saya minta daripada anda semua iaitu doa dan (berfikiran) positif, itu senjata paling kuat untuk diri ini. Insya-Allah, bismillah..doakan kejayaan saya," tulis Azeem di ruangan Instastory miliknya.

Terdahulu, Azeem mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09s sekali gus mengungguli saingan bagi saringan lapan dan melangkah ke peringkat separuh akhir.

Catatan direkodkan Azeem itu menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s ketika menjuarai saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.

Lebih menarik, catatan berkenaan adalah yang kedua terpantas daripada semua lapan saringan yang berlangsung dengan Azeem berada di belakang atlet Botswana, Letsile Tebogo yang mencipta rekod baharu kejohanan dengan catatan 10.00s.

Tebogo juga adalah pemegang rekod remaja dunia dalam acara itu dengan catatan 9.94s.

Rekod dunia dalam acara 100m dipegang bekas jaguh pecut Jamaica, Usain Bolt dengan catatan 9.58s yang dilakukannya di Berlin, Jerman pada 2009.

Di benua Asia, rekod terpantas menjadi milik atlet China, Su Bingtian yang mencatatkan masa 9.83s manakala di peringkat Asia Tenggara, Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia muncul pelari terpantas dengan catatan 10.03s.

Azeem yang berasal dari Ipoh, Perak akan meneruskan aksinya di peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung, awal pagi esok.

Berita Harian X