Ahad, 6 March 2022 | 4:32pm
Pelari dari Negeri Sembilan, Muhammad Haiqal Hanafi (kiri) memenangi acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Mini Stadium MSN, Bukit Jalil semalam. - NSTP/FATHIL ASRI.
Pelari dari Negeri Sembilan, Muhammad Haiqal Hanafi (kiri) memenangi acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Mini Stadium MSN, Bukit Jalil semalam. - NSTP/FATHIL ASRI.

Haiqal sedia bertanding atas tiket kategori B

KUALA LUMPUR: Atlet pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi menyerahkan nasibnya kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sama ada untuk menyenaraikannya bagi beraksi di Sukan SEA Hanoi di Vietnam, Mei depan atas tiket kategori B.

Pelari berusia 23 tahun itu gagal melepasi had kelayakan ke temasya dwitahunan berkenaan dalam acara 100 meter (m) selepas kejohanan terakhir yang menawarkan tiket ke Hanoi iaitu Terbuka Malaysia, semalam menyaksikan dia sekadar mencatat masa 10.58 saat (s).

Situasi itu sekali gus menutup pintu buat Haiqal untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya tiga tahun lalu di Filipina.

Setakat ini, tiga pelari pecut negara sudah melayakkan diri bagi acara 100m iaitu Russel Alexander Nasir Taib, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Muhammad Arsyad Md Saat.

Haiqal akur sekiranya tidak disenaraikan ke Sukan SEA kali ini namun dia bersedia andai KOM mahu menyenaraikan atas tiket kategori B bagi menggalas cabaran negara dalam acara 4x100m.

"Sebenarnya saya tidak fikir sangat mengenai Sukan SEA. Kalau tiada rezeki saya di Sukan SEA kali ini, mungkin ada dalam kejohanan lain.

"Saya tidak berasa kecewa pun, bukan saya mahu bercakap besar tetapi saya sudah ada pengalaman memenangi emas individu di Sukan SEA.

"Lagipun, saya memang belum bersedia untuk acara individu Sukan SEA kali ini kerana baru beberapa kali menyertai kejohanan. Saya sudah boleh agak prestasi saya nanti.

"Saya tidak berharap apa-apa daripada KOM namun jika mereka nak hantar dalam kategori B, mungkin saya beraksi untuk 4x100 dan akan beri tumpuan kepada acara itu," katanya yang memenangi emas di Filipina dengan catatan 10.35s.

Berita Harian X