Selasa, 1 March 2022 | 10:00pm
Haiqal ketika memenangi emas acara 100 meter Sukan SEA 2019.
Haiqal ketika memenangi emas acara 100 meter Sukan SEA 2019.

Peluang terakhir Haiqal

KUALA LUMPUR: Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang berlangsung hujung minggu ini menjadi peluang terakhir buat atlet pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi bagi melayakkan diri ke Sukan SEA Vietnam, Mei depan sekali gus mempertahankan pingat emas acara 100 meter (m) yang dimenanginya tiga tahun lalu di Filipina.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, setakat ini secara keseluruhannya 15 atlet sudah melayakkan diri bagi kategori A termasuk tiga atlet dalam acara 100m iaitu Russel Alexander Nasir Taib, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Muhammad Arsyad Md Saat.

"Biarpun ada atlet yang sudah layak, ia belum muktamad lagi kerana kami akan putuskan berdasarkan keputusan pada saingan Terbuka Malaysia pada 5 dan 6 Mac ini. Hanya atlet terbaik akan dipilih ke Sukan SEA.

"Jadi, peluang masih terbuka untuk mana-mana atlet untuk merebut tiket ke Sukan SEA tahun ini. Saya percaya ada beberapa lagi atlet yang akan melayakkan diri menerusi Terbuka Malaysia kali ini," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu berkata, badan induk itu menetapkan sasaran untuk membawa pulang lima pingat emas pada Sukan SEA Vietnam kali ini.

"Selain lima emas, kami juga berharap mampu meraih tujuh perak dan lima gangsa. Kami harap atlet boleh mencapai sasaran berkenaan," katanya.

Pada edisi 2019 di Filipina, skuad olahraga negara berjaya menepati sasaran lima emas selain turut membawa pulang sembilan perak dan tujuh gangsa.

Lima emas Malaysia hadir menerusi Haiqal, Lee Hup Wei (lompat tinggi lelaki), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera, Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi wanita).

Berita Harian X