Rabu, 22 Disember 2021 | 6:12pm
Atlet lompat tinggi Sabah kelahiran Tawau, Mohamad Eizlan Dahalan.
Atlet lompat tinggi Sabah kelahiran Tawau, Mohamad Eizlan Dahalan.

Eizlan sasar layak ke Sukan SEA Vietnam

KUALA LUMPUR: Atlet lompat tinggi Sabah, Mohamad Eizlan Dahalan sedar dia perlu melipat gandakan usaha dalam misi merealisasikan impian layak beraksi buat kali pertama ke Sukan SEA Vietnam, tahun depan.

Eizlan, 22, yang mengungguli saingan Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan, Ahad lalu termasuk mengatasi jaguh negara, Lee Hup Wei, berkata fokusnya ketika ini adalah cuba melepasi had kelayakan 2.15 meter (m) yang ditetapkan untuk layak ke temasya berkenaan.

Katanya, dia akan cuba memanfaatkan aksi di Grand Prix Kebangsaan yang dijadual berlangsung April tahun depan untuk memburu tiket ke temasya dwitahunan itu.

"Saya cuba untuk melakukan lompatan 2.15m ketika kejohanan tertutup itu tetapi gagal melepasinya. Saya tidak akan berputus dan bekerja keras bagi mencapai cita-cita saya.

"Saya percaya, kalau ada rezeki dan saya kekal fokus dalam latihan, saya boleh melakukannya," katanya yang muncul juara kejohanan tertutup dengan catatan 2.14m.

Peluang atlet berasal dari Tawau itu untuk mendapat tiket kelayakan agak sukar apabila dia perlu bersaing dengan Hup Wei dan seorang lagi jaguh negara, Nauraj Singh yang memiliki reputasi tinggi di temasya dwitahunan berkenaan.

Sebagai rekod, Hup Wei sudah empat kali meraih pingat emas Sukan SEA bermula edisi 2007, 2009, 2011 dan 2019 manakala Nauraj memenanginya pada edisi 2013, 2015 dan 2017.

"Saya tahu bukan mudah, tetapi sekurang-kurangnya saya mahu lepasi had kelayakan dulu," katanya yang tidak berada dalam program skuad kebangsaan dan berlatih sepenuhnya di Sabah.

Berita Harian X