Isnin, 20 Disember 2021 | 7:39pm
Gambar fail - Atlet 110 meter lari berpagar kebangsaan, Rayzam Shah Wan Sofian. - Foto NSTP/Harisyah Sabudin
Gambar fail - Atlet 110 meter lari berpagar kebangsaan, Rayzam Shah Wan Sofian. - Foto NSTP/Harisyah Sabudin

Rayzam bayangkan bersara selepas Sukan SEA Vietnam

KUALA LUMPUR: Atlet 110 meter (m) lari berpagar kebangsaan, Rayzam Shah Wan Sofian memberitahu dia kemungkinan besar akan bersara selepas berakhirnya Sukan SEA Vietnam pada Mei tahun depan.

Katanya, temasya dwitahunan itu akan menjadi pentas terakhir buat dirinya untuk menyumbangkan pingat buat negara.

"Mengikut perancangan selepas Sukan SEA Vietnam, saya akan bersara namun bergantung juga kepada keputusan sama ada saya layak ke Sukan Komanwel atau Sukan Asia.

"Jika layak, sudah tentu saya akan bersara selepas dua sukan utama itu," katanya yang selepas itu akan memberi tumpuan dalam kerjaya sebagai jurulatih olahraga.

Semalam, Rayzam membuktikan statusnya sebagai pemegang rekod kebangsaan apabila mengungguli saingan 110 meter (m) lari berpagar pada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebansaan di Stadium Mini MSN di Bukit Jalil.

Pelari berusia 33 tahun itu muncul juara dengan catatan masa 13.72 saat (s) manakala rakan sepasukannya, Benedict Ian Gawok di tempat kedua (13.92s) dan tempat ketiga pula milik atlet dari Sarawak, Mohd Rizua Haizad Muhamad (14.16s).

Sebagai rekod, Rayzam sudah dua kali memenangi emas Sukan SEA iaitu pada edisi 2007 di Thailand dan 2017 di Kuala Lumpur.

Dia turut meraih empat perak ketika di Indonesia (2011), Myanmar (2013), Singapura (2015) serta Filipina (2019).

Kehebatan atlet dari Sabah itu masih tidak tercabar di peringkat domestik dengan rekod kebangsaan miliknya menerusi catatan 13.67s masih bertahan hingga ke hari ini sejak melakukannya di Weinhem, Jerman pada 2017.

Berita Harian X