Selasa, 14 Disember 2021 | 8:19pm
Presiden Persatuan Olahraga Selangor (POS), Norhayati Karim.
Presiden Persatuan Olahraga Selangor (POS), Norhayati Karim.

Kepimpinan POS akan langsai insentif SUKMA 2018

KUALA LUMPUR: Kepimpinan baharu Persatuan Olahraga Selangor (POS) akan mengambil tanggungjawab bagi melangsaikan pembayaran insentif sebanyak RM16,000 kepada atlet yang memenangi pingat di Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

Presiden POS, Norhayati Karim mendedahkan walaupun sudah berlarutan sehingga tiga tahun, pembayaran insentif berkenaan masih belum dijelaskan oleh kepimpinan terdahulu.

Beliau, berkata hasil semakannya mendapati atlet olahraga Selangor itu tidak menerima satu sen biarpun sudah beberapa kali membangkitkan perkara berkenaan.

"Insentif yang diberikan kerajaan sebelum ini berjumlah RM16,000 dan sepatutnya dibayar kepada pemenang-pemenang pingat SUKMA. Saya dimaklumkan bahawa tiada sebarang pembayaran dilakukan sepanjang tempoh sehingga saat ini.

"Kami barisan kepimpinan baharu ini akan mengambil tanggungjawab dan berharap pembayaran itu dapat diselesaikan secepat yang mungkin," katanya.

Dalam pada itu, Norhayati bertekad membawa pembaharuan dalam POS dan mahu mengembalikan zaman kegemilangan olahraga Selangor seperti era 80an dan 90an yang ketika itu dikenali sebagai 'Harimau Balapan'.

"Kami akan menumpu ke arah pembangunan akar umbi dengan mencungkil lebih ramai bakat muda. Kami akan memastikan lebih ramai atlet Selangor akan mengharumkan nama negeri dan negara dalam arena olahraga di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

"Impian kami adalah untuk mewujudkan ramai lagi jaguh olahraga yang bertaraf antarabangsa seperti Lee Hup Wei untuk mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik suatu hari nanti," katanya.

Berita Harian X