Rabu, 15 September 2021 | 10:42am
Gambar fail - Atlet CJ Ujah ketika menyertai pusingan saringan acara 4X100m berganti-ganti pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Stadium Olimpik Tokyo pada 5 Ogos lalu. - Foto AFP
Gambar fail - Atlet CJ Ujah ketika menyertai pusingan saringan acara 4X100m berganti-ganti pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Stadium Olimpik Tokyo pada 5 Ogos lalu. - Foto AFP

Britain berdepan hilang satu pingat perak Olimpik Tokyo

LONDON: Pingat perak yang dimenangi kuartet 4x100 meter (m) Great Britain di Sukan Olimpik Tokyo 2020 hampir pasti ditarik balik selepas Agensi Ujian Antarabangsa (ITA) mengesahkan sampel B CJ Ujah diuji positif bahan terlarang.

ITA berkata Ujah memberikan sampel pada 6 Ogos lalu, hari yang sama ketika dia menjadi sebahagian daripada kuartet Great Britain yang meraih perak di belakang Itali.

Jika kemenangan Great Britain ditarik balik, Kanada akan dihadiahkan pingat berkenaan manakala China meraih gangsa.

"ITA mengesahkan seperti yang diminta oleh atlet, ujian sampel B dilakukan oleh makmal yang diiktiraf WADA (Agensi Antidoping Dunia) di Tokyo pada 19 Ogos 2021 dan ujian mendapati keputusannya adalah sama seperti sampel A.

"ITA akan merujuk kes ini kepada Bahagian Antidoping Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS ADD)," kata ITA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Ujah didapati positif menggunakan bahan terlarang jenis Ostarine dan S-23. Ia adalah bahan yang biasa digunakan untuk membina otot.

- AFP

Berita Harian X