Sabtu, 19 March 2022 | 9:03pm

KBS alu-alukan sokongan swasta anjur semula F1

IPOH: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengalu-alukan sokongan daripada swasta bagi membawa kembali penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) ke negara ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ini kerana kos untuk membawa kembali penganjuran perlumbaan grand prix (GP) itu mencecah sehingga RM200 juta yang dianggap terlalu tinggi.

"Kita semua sedia maklum untuk membawa perlumbaan F1 kembali ke Malaysia memerlukan kos yang begitu tinggi.

"Jika kita boleh mendapat sokongan bantuan daripada syarikat swasta dan seumpamanya atau ejen penganjur, sudah tentu kita akan memberi sokongan," katanya selepas merasmikan penutupan mesyuarat tahunan ke-24 Panther Athletics Club di Global Sport Rehab Center, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, SIC tidak menolak kemungkinan untuk membawa semula perlumbaan F1 ke Malaysia, namun ia bergantung kepada 'kantung' kewangan bagi menganjurkan perlumbaan berprestij itu.

Memetik laporan berkenaan, Sepang antara litar yang dikaitkan untuk menganjurkan semula perlumbaan F1 selepas GP Russia di Litar Sochi dibatalkan berikutan tindakan negara itu melakukan perobohan ke atas Ukraine.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menganjur perlumbaan F1 pada 2017. Kontrak itu tidak dilanjutkan berikutan pulangan menurun serta kos operasi semakin meningkat selepas mula menganjurkannya pada 1999.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata pihaknya akan memperhalusi bentuk bantuan untuk disalurkan kepada atlet olahraga, Shereen Samson Vallabouy bagi memastikan perjalanan prestasi baik dapat dicapai atlet berpotensi tinggi itu.

"Beliau (Shereen) adalah seorang atlet yang memang dalam radar MSN (Majlis Sukan Negara) dan telah mendapat biasiswa pelajaran di sebuah universiti di Amerika Syarikat.

"Bagi bantuan lain, kita melihat ianya tidak termasuk pada kategori yang sedia ada di dalam MSN. Namun kita akan memperhalusi bantuan bagaimana yang boleh diberikan kepada Shereen yang mana seorang atlet negara yang mampu pergi lebih jauh lagi," katanya.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu beramah mesra bersama atlet muda ketika hadir pada majlis penutup mesyuarat agung tahunan Ke-24 Kelab Olahraga Panther di Ipoh, petang tadi. - Foto NSTP/L Manimaran.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu beramah mesra bersama atlet muda ketika hadir pada majlis penutup mesyuarat agung tahunan Ke-24 Kelab Olahraga Panther di Ipoh, petang tadi. - Foto NSTP/L Manimaran.
Berita Harian X