Selasa, 30 Oktober 2018 | 9:18am
SEBASTIAN Vettel. - Foto AFP
SEBASTIAN Vettel. - Foto AFP

Impian Vettel berkubur di Singapura

MEXICO CITY: Sebastian Vettel menegaskan kempen kejuaraan dunianya dalam perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini mula terkubur di Singapura, apabila Ferrari gagal menandingi prestasi pelumba Mercedes, Lewis Hamilton.

“Saya fikir bermula daripada Grand Prix (GP) Singapura, kami tidak mempunyai kepantasan untuk menandingi Mercedes untuk beberapa perlumbaan,” katanya.

“Dan kemudiannya, jelas sekali wujud beberapa masalah yang tidak menyebelahi kami. Kami gagal mendapat mata susulan kesilapan sendiri,”

Vettel meluahkan perasaannya selepas GP Mexico, kelmarin yang menyaksikan dia menamatkan saingan di tempat kedua, di belakang pelumba Red Bull, Max Verstappen.

Ia sekali gus bermakna kejuaraan dunia F1 musim ini dimenangi Hamilton yang menamatkan aksi di tempat keempat, di belakang Kimi Raikkonen di Mexico.

Selepas mengucapkan tahniah kepada pencabar dari Britain itu yang menyambar gelaran dunia buat kali kelima, Vettel jujur mengenai kesilapannya dan pasukannya.

Ramai percaya detik yang mengubah nasibnya ialah ketika dia mengalami insiden selepas mendahului perlumbaan pada GP Jerman, yang mana Hamilton bangkit memenanginya dengan penuh bergaya.

“Saya tidak boleh menyalahkan diri sendiri dengan apa yang terjadi di Jerman,” katanya.

“Banyak kesilapan besar yang dilakukan saya pada musim ini, tetapi memang jelas sekali ia satu daripada kesilapan terbesar.”

“Apabila anda terlalu mencuba, kadang kala anda akan melakukan kesilapan. Saya memilih selekoh yang salah.

“Walau apapun, saya sudah melupakan insiden itu dan tidak memikirkannya lagi. Saya menganggapnya sebagai sebahagian daripada perlumbaan, pelumba lain pun tidak terlepas daripada melakukan kesilapan sama.” - AFP

Berita Harian X