Rabu, 4 Julai 2018 | 11:23am
LEWIS Hamilton semasa beraksi di litar Red Bull Ring di Spielberg, Austria. - Foto EPA
LEWIS Hamilton semasa beraksi di litar Red Bull Ring di Spielberg, Austria. - Foto EPA

Mercedes pertahan ketua strategi

LONDON: Juara Formula Satu, Mercedes mempertahankan ketua strategi pasukan itu, James Vowles sekali gus menafikan laporan yang dia dipaksa untuk melakukan permohonan maaf bagi kesilapannya pada Grand Prix Austria, Ahad lalu.

Perbualan Vowles kepada Lewis Hamilton sebelum ini, dapat didengari jutaan penonton televisyen seluruh dunia, selepas kesilapan taktikal yang menyebabkan pemandu Britain itu yang berada di kedudukan pertama jatuh ke tempat keempat.

"Ia kesilapan saya Lewis dan saya mohon maaf kerana itu," kata Vowles kepada juara dunia empat kali itu yang kemudiannya terpaksa keluar daripada perlumbaan, dalam perbualan radio itu.

"Saya menyebabkan kehilangan kemenangan," katanya.

Bercakap dalam siaran YouTube Mercedes, pengarah teknikal, James Allison berkata, Vowles sentiasa bertanggungjawab dan tindakan itu menggambarkan budaya dalam pasukan itu.

"Ia contoh sangat baik tentang kepimpinan oleh Jame dengan cuba menerangkan Lewis apa yang berlaku," katanya.

Mesej menerusi radio kepada pemandu selalunya dilakukan jurutera perlumbaan tetapi Allison berkata Vowles kadang kala akan masuk campur dalam keadaan luar biasa terutama ketika mesej yang hendak disampaikan adalah penting.

Hamilton sudah pun mendahului perlumbaan sehinggalah rakan pasukan, Valtteri Bottas mengalami kegagalan hidrolik dan menarik diri, menyebabkan kereta keselamatan keluar untuk satu pusingan. Hamilton bagaimanapun tidak memasuki pit sementara pemandu lain yang dibelakangnya memasuki pit.

"Anda tidak mahu menjadi satu-satunya kereta yang berhenti dan mengetahui semua pemandu yang lain tidak berhenti dan semuanya bercelaru dalam acara yang anda tidak harapkan," kata Allison.

"Kami sangkakan kereta keselamatan akan melebihi satu pusingan, jadi kami rasakan mahu lihat apa yang dilakukan pemandu dibelakang kami." - Reuters

 

Berita Harian X