Khamis, 16 March 2023 | 7:25pm
Gambar fail - Gimnastik negara, Muhammad Sharul Aimy. - Foto BERNAMA
Gambar fail - Gimnastik negara, Muhammad Sharul Aimy. - Foto BERNAMA

Sharul tak gerun kelibat Yulo di Kemboja

KUALA LUMPUR: Nama Carlos Yulo seakan menghantui seluruh peserta dari negara Asia Tenggara yang lain di Sukan SEA namun impian untuk mengatasi atlet gimnastik Filipina itu yang juga juara dunia sentiasa ada dalam naluri masing-masing.

Bagi gimnastik negara, Muhammad Sharul Aimy yang bakal membuat penampilan keduanya di temasya dwitahunan di Kemboja pada Mei ini berkata, kehebatan pemenang lima pingat emas di Hanoi tahun lalu itu sememangnya diakui namun ia bukan halangan untuk dirinya.

"Saya sudah banyak kali bersaing dengan beliau, susah untuk kalahkan dia tetapi kami (pasukan) boleh cuba dan melakukan yang terbaik untuk temasya kali ini," katanya.

"Buat masa ini, saya perlu tingkatkan lagi kualiti dan 'landing' kerana pada dua atau tiga kejohanan sebelum ini, 'landing' saya tak seperti peserta lain. Mungkin kerana kami jarang keluar menyertai kejohanan dan apabila keluar, itu timbul perasan gementar. Apapun persiapan pada ketika ini sudah 70 peratus.

"Pada penampilan pertama di Sukan SEA (di Hanoi), saya nak mencari pengalaman, jadi kali ini mesti cuba sehabis baik. Saya memang mempunyai sasaran (peribadi) tetapi nak cakap itu agak susah.

"Saya akan cuba melakukan yang terbaik terlebih dulu dan bagi saya, kalau dapat melakukan yang terbaik, pasti akan meraih satu keputusan yang baik. Saya nak cuba dapatkan warna pingat lebih baik berbanding gangsa pada edisi lalu."

Di Hanoi, Sharul meraih gangsa dalam acara kekuda berpelana. Emas acara berkenaan dimenangi atlet tuan rumah, Dang Ngoc Xuan Thien manakala perak diraih rakan sepasukan Sharul, Tan Fu Jie.

Semalam, jurulatih kebangsaan, Ng Shu Liang meletakkan Sharul sebagai prospek utama buat skuad gimnastik lelaki negara di Phnom Penh namun halangan pastinya hadir menerusi juara dunia, Yulo.

Berita Harian X