Isnin, 6 March 2023 | 7:12pm
Gambar fail - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (dua kiri) menziarah bekas jaguh golf negara, M Ramayah yang menjalani rawatan kanser di Hospital Tuanku Canselor Muhriz, UKM,, Cheras, baru-baru ini bersama Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (kanan). - Foto ihsan FB Hannah Yeoh
Gambar fail - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (dua kiri) menziarah bekas jaguh golf negara, M Ramayah yang menjalani rawatan kanser di Hospital Tuanku Canselor Muhriz, UKM,, Cheras, baru-baru ini bersama Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (kanan). - Foto ihsan FB Hannah Yeoh

'M Ramayah seorang yang berjiwa besar'

KUALA LUMPUR: Legenda golf negara, M Ramayah yang meninggal dunia, hari ini disifatkan berjiwa besar apabila pernah menyatakan hasrat untuk menyalurkan sebahagian wang derma diterimanya bagi membantu golongan miskin yang berminat belajar bermain golf.

Perkara itu dikongsikan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed sambil turut menzahirkan rasa dukacita di atas pemergian mendiang.

Noorul berkata beliau akan berbincang dengan keluarga mendiang sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan hasrat yang pernah diluahkan Ramayah itu.

"Berita yang sedih untuk saya, beliau seorang legenda negara pada usia 67 tahun dan bermain golf sejak berusia 6 tahun. Memang hidup beliau untuk golf, akhir-akhir ini beliau banyak kekurangan dan kita bantunya.

"Berhubung hasil kutipan derma, asalnya untuk rawatan serta kos-kos lain tetapi hasrat beliau adalah guna duit yang ada membantu anak-anak miskin belajar main golf.

"Beliau sangat berjiwa besar," katanya selepas majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara YAKEB, Genting Malaysia Berhad (GENM) dan Akademi Hospitaliti DHS yang disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Kompleks Sukan Bukit Kiara hari ini.

Sementara itu, Hannah turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ramayah. Beliau sebelum ini turut menziarahi legenda golf itu ketika sedang bertarung dengan penyakit kanser.

"Saya bagi pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. Saya sempat melawat mendiang di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"YAKEB akan membantu ahli keluarga mengenai sumbangan berkenaan atau mungkin meneruskan hasrat terakhir mendiang," katanya.

Terdahulu, Ramayah yang beraksi sebanyak 13 kali di Piala Dunia menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 10.20 pagi tadi di HCTM UKM selepas bertarung dengan penyakit kanser.

Ramayah yang mula bergelar pemain golf profesional pada usia 18 tahun dan pernah dilabel sebagai pemain yang perlu ditewaskan pada era 1976 hingga 1997.

BH Sukan sebelum ini melaporkan, Ramayah disahkan menghidap kanser yang menyebabkan beliau terlantar di katil selain mengalami perubahan fizikal yang drastik.

Berita Harian X