KUALA LUMPUR: NS Matrix mengekalkan rekod tanpa kalah dalam pusingan ketiga Liga Bola Keranjang ASEAN selepas menewaskan Bangkok Tigers, malam tadi.
Dibantu dengan sokongan padu peminat tempatan, Matrix mencatat kemenangan 117-78 ke atas lawan mereka itu pada aksi yang berlangsung di Stadium MABA Kuala Lumpur.
Sebagai rekod, ia adalah kemenangan kelapan berturut-turut sejak pusingan pertama di Singapura yang menyaksikan mereka menang dua kali dan dua tewas sebelum mengakhiri pusingan kedua di Batam, Indonesia dengan rekod tanpa kalah.
Ting Chun Hong dan Tevin Glass menjadi watak utama kemenangan Matrix apabila masing-masing menyumbang 20 dan 18 mata buat pasukan pada pertemuan dengan Bangkok Tigers.
Terdahulu, Matrix menewaskan Louvre Surabaya dari Indonesia 89-51 pada aksi pembukaan, Khamis lalu dan mereka akan turun menentang kelab Vietnam, Saigon Heat, Rabu ini.