KUALA TERENGGANU: Penjaga gol utama skuad hoki kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Othman mengakui kecewa selepas gagal membantu pasukannya menduduki tempat kesepuluh terbaik dalam saingan Piala Dunia 2023 di India yang berakhir minggu lalu.
Menurut pemain kelahiran Terengganu itu, peluang untuk menduduki ranking berkenaan hampir dapat dicapai, namun rezeki tidak memihak kepada mereka.
Bagaimanapun pemain yang beraksi cemerlang sepanjang kejohanan itu tetap reda terutama selepas skuad Malaysian Tigers berjaya memperbaiki kedudukan dengan menamatkan saingan di ranking ke-13 dunia berbanding ke-15 pada edisi Piala Dunia sebelumnya.
"Sejujurnya saya tidak begitu gembira selepas kami gagal membantu pasukan menempatkan diri sekurang-kurangnya di tempat kesembilan hingga ke-12 terbaik dunia.
"Lagipun kami berpeluang cerah untuk melakukannya. Tambah memeritkan ini penampilan pertama saya dalam saingan Piala Dunia sepanjang karier selepas dua kali terlepas sejak 2014 dan 2018. Ia terlalu istimewa kepada saya.
"Saya pun mahu menghadiahkan kepada keluarga yang banyak memberikan dorongan sejak kecil. Begitu juga barisan jurulatih dan guru bermula dibangku sekolah rendah lagi.
"Tapi inilah permainan hoki macam-macam boleh berlaku. Namun kedudukan ke-13 dunia sekurang-kurangnya dapat memperbaiki kedudukan berbanding edisi lalu," katanya hari ini.
Ketika ditanya impiannya dalam edisi Piala Dunia pada edisi akan datang, penjaga gol nombor satu Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu berazam untuk terus menyarung jersi pasukan kebangsaan selepas ini.
"Impian saya tidak pernah padam. Jika diberi peluang barisan kejurulatihan, sudah pasti saya mahu memperbaiki ranking pasukan negara dalam pentas Piala Dunia dalam edisi akan datang," katanya.