KUALA LUMPUR: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) hanya menunggu 'lampu hijau' daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menghantar atletnya terutama dua badang utama negara, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhammad Aznil Bidin menjalani latihan di luar negara.
Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat, berkata perkara itu sudah pun dibentangkan kepada MSN ketika mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK), minggu lalu.
Katanya, sesi latihan di luar negara adalah sebahagian daripada perancangan badan induk itu bagi mempersiapkan atlet menghadapi beberapa temasya utama tahun ini seperti Sukan SEA Kemboja dan Sukan Asia Hangzhou selain persiapan buat Aniq dan Aznil yang menjadi sandaran untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
"Ikut perancangan, kami mahu menghantar atlet menjalani latihan sama ada Thailand atau Indonesia kerana di sana ada ramai jaguh angkat berat bertaraf dunia. Selain latihan, atlet juga mungkin beraksi dalam beberapa kejohanan di sana tetapi tengok kepada kesesuaian.
"Sekarang ini, kami hanya tunggu kelulusan daripada daripada MSN dan mungkin akan diputuskan dalam masa terdekat. Saya dimaklumkan MSN juga perlu menunggu pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini sebelum buat sebarang keputusan," katanya.
Dalam pada itu, Ayub mengesahkan Aniq dan Aznil yang kedua-duanya memenangi emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 tidak akan menyertai Sukan SEA Kemboja kerana tarikhnya bertindih dengan satu kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris iaitu di Korea Selatan.
Katanya, cabaran skuad negara akan diketuai pemenang gangsa dalam kategori 73 kilogram (kg) pada edisi 2021 di Vietnam, Muhammad Erry Hidayat.