PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menghantar empat pasukan terbaik institusi pendidikan tinggi (IPT) bagi menyertai kejohanan peringkat kebangsaan bagi musim ini.
Pasukan berkenaan adalah skuad bola sepak Malaysia University Football Team (MUFT), KPT-PST Mustangs (futsal), KPT-UNITEN THUNDER (hoki wanita) dan KPT-MASUM Knights (sepak takraw).
MUFT yang dianggotai 27 atlet, bakal bersaing dalam kejohanan Liga M3 2023 manakala KPT-PST Mustangs akan menyertai kejohanan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) 2023 dengan mempertaruhkan 21 atlet.
Pasukan KPT-UNITEN Thunder yang membabitkan 13 atlet IPT bakal berentap pada Kejohanan TNB Liga Hoki WANITA Malaysia 2023 dengan pencapaian naib johan pada tahun 2022 dan muncul juara Piala Vivian May Soars buat kali ketiga.
Pasukan itu menyasarkan untuk muncul juara liga pada tahun 2023 ini dan turut mengekalkan kejuaraan Piala Vivian May Soars.
Seterusnya, pasukan KPT-MASUM Knights yang muncul naib juara Divisyen 1, Liga Sepak Takraw (STL) 2022 dan turut beraksi di Liga Juara-Juara pada tahun yang sama akan menggalas cabaran untuk berentap di Liga Premier pada musim 2023 dengan sasaran menjadi empat pasukan terbaik.
Majlis pengenalan pasukan IPT ke Liga Kebangsaan 2023 dan penyerahan buku manual terbitan seksyen sukan disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian, di sini, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Norisma Mohd Ismail dan Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Datuk Dr Pekan Ramli.