Perhalusi semula - Che Mohd Azrol
Malik Muhamad
Kuala Terengganu: Tindakan yang boleh merugikan pasukan negara dan atlet itu sendiri, ianya perlu diperhalusi semula.
Pandangan ini dilontarkan bekas wira dan badang negara, Che Mohd Azrol Che Mat, 43, berhubung tindakan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) yang tidak membenarkan atlet dari Terengganu dan Perlis menghadiri program pemillihan ke temasya Sukan Sea di Kemboja pada Mei depan.
Tindakan tegas dan berani dibuat badan induk angkat berat negara itu sebagai pengajaran kepada atlet yang terlibat dengan isu doping selain mengelak ianya menjadi 'barah' selepas sukan itu kerap terpalit dengan isu doping.
"Sejujurnya saya menyokong 100 peratus tindakan PABM tidak membenarkan atlet yang terlibat dengan isu doping berada dalam program pemillihan ke Sukan Sea berkenaan, lagipun saya pernah jadi atlet dan sepanjang karier, saya tidak pernah terbabit dengan isu doping.
"Saya berpandangan jika mereka didapati bersalah menggunakan bahan terlarang dengan sengaja, tindakan lebih tegas termasuk gantung seumur hidup penyertaan dalam semua pertandingan wajar dilakukan sebagai pengajaran kepadanya dan atlet lain.
"Tindakan tegas itu perlu segera dilakukan bagi mengelak ianya menjadi barah terutama kejadian atlet menggunakan bahan terlarang sering berlaku dan ianya bagaikan tiada kesudahan walaupun sudah ada hukuman, jadi pihak pengurusan perlu mencari sehingga akar umbi punca mereka menggunakan bahan terlarang bagi memastikan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dihukum," katanya ketika ditemui.
Bagaimanapun pemenang dua pingat emas pada Sukan Sea di Vietnam 2003 dan Sukan Sea di Filipina 2005 dalam kategori 105 kilogram (kg) itu mengharapkan PABM tidak menghukum semua atlet Terengganu dan Perlis yang tidak terbabit dengan isu doping.
"Jika atlet yang tidak bersalah juga dinafikan peluang untuk bersaing merebut tempat dalam skuad kebangsaan, saya tidak bersetuju, situasi ini boleh merugikan pasukan negara dan juga atlet itu sendiri yang sudah berjuang dan berkorban sejak awal lagi dengan menghabiskan banyak masa latihan, wang ringgit dan tenaga.
"Ibarat jika kita ada lima anak dan dua daripadanya melakukan kesalahan, kita perlu rotan hanya dua sahaja yang terlibat bukan semua, jadi saya lihat jika PABM kekal dengan keputusan itu, ianya tidak adil buat atlet Terengganu dan Perlis yang tidak bersalah sekali gus menyaksikan mereka dianiaya kerana tidak diberikan peluang.
"Jadi saya memohon jasa baik pihak PABM mengkaji dan memperhalusi semula keputusan tidak membenarkan atlet dari Terengganu dan Perlis menghadiri program pemillihan ke Sukan Sea, lagipun ada ramai atlet berbakat dari negeri berkenaan," katanya.