PUTRAJAYA: Magdalene Lau terus membuktikan statusnya selaku permata baharu negara bagi sukan renang perairan terbuka apabila menggondol pingat perak keduanya di Kejohanan Renang Perairan Terbuka Asia Tenggara (SEAOWSC) di Tasik Putrajaya, hari ini dengan kali ini dalam acara 10 kilometer (km).
Perenang kelahiran Sarawak berusia 17 tahun itu mengulangi pencapaiannya dalam perlumbaan 5km, semalam dengan menamatkan saingan di tempat kedua kategori wanita 16 hingga 17 tahun dengan catatan masa 2 jam 15 minit 10.7 saat (s), tiga minit di belakang juara Natwara Bovornsukseri dari Thailand (2:11:46.9s).
Lebih membanggakan, Magdalene berjaya menempatkan diri di tempat ketiga dalam senarai kedudukan keseluruhan yang merangkumi para perenang dari kategori 18 hingga 19 tahun dan 20 tahun ke atas.
"Pengalaman berlumba dalam acara 5km semalam memang banyak membantu saya hari ini," kata Magdalene, yang menjadikan Michael Phelps sebagai idolanya.
"Saya beraksi jauh lebih baik berbanding semalam, namun untuk 10km, ia pastinya jauh lebih memenatkan. Satu lagi cabaran getir adalah bagaimana untuk menyelaras kelajuan kuakan supaya dapat kekal bersaing sepanjang tempoh perlumbaan.
"Jadi, saya berasa sungguh gembira untuk dapat menduduki tempat ketiga keseluruhan. Selepas berada di tangga keenam sesudah pusingan pertama, saya mula memperbaiki kedudukan lalu secara berperingkat sebelum membuat pecutan terakhir pada penghujung perlumbaan untuk menjadi tiga terbaik.
"SEAOWSC pasti akan meninggalkan kenangan manis untuk saya kerana inilah penampilan sulung bukan sahaja dalam arena perairan terbukan, malah antarabangsa juga."
Magdalene akan mengalihkan tumpuannya kepada acara berpasukan berganti-ganti 4x1.5km dan mengharapkan satu lagi kilauan pingat untuk memberikannya satu penamat sempurna.
Malaysia turut memungut pingat perak menerusi Chelsea Lee dalam kategori wanita 18 hingga 19 tahun dan gangsa oleh Ashley Soh dalam kategori wanita 16-17 tahun.
Diketuai pelumba terpantas keseluruhan lelaki dan wanitanya iaitu Tanakrit Kittiya dan Pimpun Choopong, Thailand telah menyapu bersih kesemua enam pingat emas yang dipertandingkan hari ini.
Tanakrit, yang juga pemenang pingat gangsa Sukan SEA Manila, mengungguli kategori 20 tahun ke atas dengan catatan 1:56:59.9 manakala Pimpun pula muncul juara bagi saingan wanita dalam kategori yang sama selepas mencatat 2:09:55.4.