KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menyifatkan format pertandingan Piala Dunia 2023 adalah pelik dan bersifat tidak adil buat pasukan negara.
Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal mengakui format yang diguna pakai pada edisi kali ini memberi kesan kepada skuad kendalian Arul Selvaraj meskipun berjaya memenangi beberapa perlawanan.
Justeru, beliau berharap Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dapat melihat semula format berkenaan supaya lebih adil kepada semua pasukan.
"Bagi saya format kali ini tidak adil kerana kalau diikutkan kita sepatutnya bermain untuk klasifikasi tempat ke-9-12. Macam mana Afrika selatan yang hanya menang sekali dan kita menang tiga perlawanan tetapi mereka tamatkan saingan lebih tinggi dari kita.
"Sepatutnya kalau ikut logik kita akan tamatkan saingan lebih tinggi dari Afrika Selatan. Malah ketika menentang Afrika Selatan mereka dapat rehat lebih lama dan kita pula perlu bergerak ke venue yang lebih jauh dan ia menyebabkan pemain penat.
"Ini cuma pandangan saya sahaja. Jadi saya berharap FIH dapat lihat semula format yang digunakan pada Piala Dunia kali ini untuk kejohanan yang akan datang," katanya.
Pada edisi Piala Dunia kali ini, skuad negara menamatkan saingan di kedudukan ke-13 berkongsi kedudukan bersama Perancis selepas menewaskan Jepun 3-2, semalam.
Untuk rekod, berdasarkan format baharu di Piala Dunia 2023, pasukan tercorot dalam setiap kumpulan berpeluang memperbaiki kedudukan akhir apabila mereka akan bermain untuk penentuan tempat ke-9-16.
Sementara itu, Subahan menegaskan pihaknya akan cuba memastikan format tidak adil itu tidak akan digunakan pada Piala Dunia Remaja yang akan berlangsung di Kuala Lumpur hujung tahun ini.
"Untuk Kejohanan Piala Dunia Remaja, kami ada kelebihan yang mana MHC akan terlibat. Dalam satu atau dua minggu lagi kita akan bermesyuarat.
"Dalam mesyuarat itu kita akan suarakan perkara ini dan harap FIH akan dengar berkenaan isu ini dan akan menukarnya pada kejohanan berkenaan," ujarnya.