Selasa, 24 Januari 2023 | 8:48pm
Pemain Sepanyol, Enrique Gonzalez (kiri) bersaing dengan pemain Malaysia, Azuan Hasan pad aksi `crossover’ suku akhir hoki Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, India, pada Ahad lalu. - Foto EPA.
Pemain Sepanyol, Enrique Gonzalez (kiri) bersaing dengan pemain Malaysia, Azuan Hasan pad aksi `crossover’ suku akhir hoki Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, India, pada Ahad lalu. - Foto EPA.

`Kami tak mahu berakhir di kedudukan ke-15 atau 16'

BHUBANESWAR, India: Tiada sikap menunding jari dalam kalangan 30 pemain dan pegawai skuad hoki lelaki negara yang beraksi di Piala Dunia 2023 selepas kekalahan memeritkan di tangan Sepanyol, kelmarin.

Malaysia berjaya mengikat Sepanyol 2-2 sehingga tamat masa sebenar perlawanan dan kemudiannya terikat 3-3 selepas lima penentuan penalti sebelum tewas dalam pukulan terakhir yang menyaksikan skuad Speedy Tigers terpaksa akur bermain menentang Afrika Selatan bagi penentuan tempat kesembilan hingga 16.

Sepanyol pula akan bertemu Australia pada aksi suku akhir.

Pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi, berkata mereka langsung tidak berbicara mengenai penentuan penalti sepanjang penerbangan dari Bhubaneswar ke Rourkela dan kemudiannya menaiki bas selama dua jam dari Lapangan Terbang Jharsuguda.

"Seluruh pasukan tahu bahawa dalam penentuan 'shootout', sesiapa saja boleh menang dan sebab itu, tiada sesiapa menyalahkan mereka yang gagal menyudahkan 'shootout' termasuk melepaskan kemarahan susulan kekalahan dalam perlawanan penting itu.

"Semua orang tahu untuk bergerak ke hadapan dalam Piala Dunia ini, kita mesti melihat ke hadapan untuk perlawanan menentang Afrika Selatan dan melupakan kekalahan penalti 'shootout' di tangan Sepanyol," katanya.

Pemilihan pemain bagi mengambil penentuan penalti adalah atas kerelaan masing-masing untuk memikul tanggungjawab pada ketika itu.

"Kami ada melakukan latihan penalti 'shootout' sehari sebelum perlawanan menentang Sepanyol dan memilih lima pemain yang bersedia dan menawarkan diri jika perlawanan perlu ditentukan menerusi cara itu.

"Pemain termuda kami Shahmie (Irfan Suhaimi, 20, dan hanya dua kaps) adalah salah seorang daripada mereka yang secara sukarela dan menjaringkan gol pada detik mendebarkan itu. Dan pada masa yang sama, pemain dan kapten kami yang paling berpengalaman Marhan (Jalil) terlepas penalti 'shootout'.

"Namun, tiada siapa yang menyalahkan kapten kerana 'shootout' adalah seperti cabutan bertuah, anda akan beberapa kali berjaya menyudahkannya dan beberapa kali melakukannya dalam kerjaya anda," kata Mirnawan.

Pada kempen Piala Dunia kali ini, Afrika Selatan yang bersaing dalam Kumpulan A sebelum ini tewas semua perlawanan peringkat kumpulan menentang Argentina (0-1), Australia (2-9) dan Perancis (1-2).

Bagaimanapun, pada saingan Piala Sultan Azlan Shah, Malaysia berjaya menewaskan Afrika Selatan 7-2.

Pasukan benua Afrika itu kemudiannya membawa masuk enam pemain baharu bagi menghadapi kempen Piala Negara-Negara dan berjaya menewaskan Ireland di pentas final.

""Kami tidak boleh menjadikan keputusan perlawanan sebelum ini yang mana kami menang dengan jumlah gol yang besar sebagai kayu ukur. Piala Dunia adalah entiti baharu, dan setiap pasukan di sini mahu menamatkan saingan dengan keputusan terbaik.

"Begitu juga Malaysia. Apa yang pasti, kami tidak mahu mengakhiri saingan edisi kali ini di kedudukan ke-15 atau 16," kata Mirnawan yang turut mempunyai pengalaman bersama pasukan ketika menamatkan saingan di kedudukan ke-15 pada Piala Dunia 2018.

Berita Harian X