Sabtu, 7 Januari 2023 | 9:34pm
Jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj.
Jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj.

Skuad hoki negara sedia kejutkan Belanda di Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Walaupun berdepan pasukan gergasi pada perlawanan pertama Piala Dunia 2023, namun skuad hoki lelaki kebangsaan diyakini tetap berpeluang untuk mencipta kejutan bagi memenangi aksi berkenaan.

Skuad bimbingan Arul Selvaraj akan membuka tirai aksi Piala Dunia di Bhubaneswar-Rourkela, India menentang pasukan ranking ketiga dunia yang juga juara tiga kali, Belanda pada 14 Januari ini.

"Kalau kita tengok berdasarkan rekod dalam Piala Dunia bola sepak, sentiasa ada kejutan yang berlaku dalam perlawanan pertama.

"Biarpun Belanda berada dalam kelompok tiga terbaik dunia, tetapi saya percaya tidak mudah untuk mereka sebagai pasukan untuk bermain dalam perlawanan pertama. Ini kerana, suasana, tekanan dan harapan yang diletakkan dalam saingan Piala Dunia adalah berbeza.

"Jadi, saya percaya peluang untuk pasukan kita tetap ada," kata Arul.

Skuad negara selamat tiba di India, semalam dan dijadual mengadakan aksi persahabatan menentang Sepanyol pada Rabu ini sebagai aksi pemanas badan terakhir sebelum memulakan kempen pada Piala Dunia kali ini.

Selepas aksi bertemu Belanda di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela dalam perlawanan pertama Kumpulan C, skuad Malaysian Tigers akan berdepan Chile di stadium sama dua hari kemudian sebelum menentang New Zealand di Bhubaneswar pada 19 Januari.

"Berdasarkan sesi latihan terakhir kami, semua pemain berada pada tahap terbaik mereka baik dari segi fizikal dan mental. Mereka sudah bersedia untuk memulakan saingan pada Piala Dunia kali ini," kata Arul.

Pencapaian terbaik Malaysia di Piala Dunia adalah mengakhiri saingan di kedudukan keempat di laman sendiri pada edisi 1975 manakala edisi terakhir empat tahun lalu yang turut berlangsung di India menyaksikan skuad negara sekadar di kedudukan ke-15.

INFO

Jadual aksi Malaysia:

14 Januari - Malaysia mln Belanda, 5.30 ptg, Std Hoki Birsa Munda, Rourkela

16 Januari - Malaysia mln Chile, 3.30 ptg, Std Hoki Birsa Munda, Rourkela

19 Januari - Malaysia mln New Zealand, 3.30 ptg, Std Hoki Kalinga, Bhubaneswar

Nota: Semua perlawanan waktu Malaysia.

Berita Harian X