KUALA LUMPUR: Pasukan bola keranjang lelaki Negeri Sembilan Matrix (NS Matrix) meraih gelaran kelima berturut-turut pada Kejohanan Kebangsaan Piala Agong 2022 selepas menewaskan Melaka di pentas final, malam tadi.
Beraksi di Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), NS Matrix membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri dengan menewaskan seteru itu 90-72 sekali gus merekodkan gelaran keenam sejak mula meraihnya pada edisi sulung kejohanan 1958.
Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang pernah meraih gelaran pada 2015 berada di tempat ketiga manakala Perak menamatkan kejohanan di tempat keempat dan Johor, kelima keseluruhan.
Dalam pada itu, Negeri Sembilan turut cemerlang dalam kategori wanita apabila pasukan Negeri Sembilan 1 muncul juara selepas mengungguli peringkat round robin dengan meraih lima kemenangan.
Kejayaan Negeri Sembilan 1 itu secara tidak langsung menyaksikan pasukan merekodkan gelaran hatrik selepas turut meraih kemenangan pada edisi 2018 dan 2019.
Lebih manis, ia adalah gelaran ke-13 buat pasukan wanita Negeri Sembilan selepas meraih kejayaan sejak 1958 hingga 1967.
Pasukan Selangor muncul naib juara bagi edisi kali ini manakala Johor berada di tempat ketiga dan Melaka, keempat. Pasukan Negeri Sembilan 2 pula menamatkan kempen 2022 di tempat kelima.
Dalam pada itu, pemain lelaki NS Matrix, Kuek Tian Yuan diangkat sebagai pemain terbaik di pentas final manakala penjaring terbanyak lelaki dimiliki Lai Kok Weng (Perak). Bagi kategori wanita, Tan Pei Jie muncul penjaring terbanyak.
Hadir menyampaikan hadiah Presiden MABA, Datuk Lee Tian Hock.