Jumaat, 23 Disember 2022 | 6:41pm
 Aquathlon Putrajaya yang diadakan sebelum ini.
Aquathlon Putrajaya yang diadakan sebelum ini.

NX113 Aquathlon sedia peluang ke Sukan SEA Kemboja

KUALA LUMPUR: Kejohanan NeptuneX113 Aquathlon Putrajaya 2023 (NX113 Aquathlon) di Tasik Putrajaya pada 4 Februari ini akan menjadi medan buat atlet sukan multidisiplin merebut tempat untuk mewakili negara pada Sukan SEA di Kemboja pada Mei tahun depan.

Sukan aquathlon, yang membabitkan disiplin larian dan renang, akan dipertandingkan buat kali pertama apabila temasya sukan dwitahunan itu kembali untuk edisi ke-32 dari 5 hingga 17 Mei depan.

Oleh itu, penganjur kejohanan, Hybrid Management Sdn Bhd mengambil kesempatan ini untuk mengelolakan NX113 Aquathlon seiring dengan edisi sulung Kejohanan Renang Perairan Terbuka Asia Tenggara 2023 (SEAOWSC) dari 2-4 Februari di venue yang sama.

Dengan pengiktirafan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Triathlon Malaysia (MTA), NX113 Aquathlon diperakui sebagai medan pemilihan atlet-atlet ke Sukan SEA.

Justeru, atlet yang memasang cita-cita besar untuk beraksi di pentas Sukan SEA usah melepaskan peluang terbaik ini dengan menguji kehebatan diri masing-masing dalam kategori Elit NX113 Aquathlon, di mana para perserta perlu berenang sejauh 500 meter dan disusuli larian 2.5 kilometer.

Tiga lagi kategori lain yang dipertandingkan adalah Standard (renangan 1.5km renang/larian 10km), Pecut (renangan 750m/larian 5km) serta Super Sprint (renangan 500m/larian 2.5km), yang mempertandingkan jarak yang sama dengan Elit.

Para atlet yang ingin memburu tempat ke Sukan SEA melalui kategori Elit harus mengemukakan permohonan kepada Persatuan Triathlon Negeri masing-masing terlebih dahulu.

Hanya individu yang berdaftar dengan Persatuan Triathlon Negeri akan dipertimbangkan untuk kelayakkan Sukan SEA.

Presiden MTA Tony Tan mengharapkan agar penganjuran NX113 Aquathlon bersempena SEAOWSC akan dapat menaikkan profil sukan aquathlon di negara ini.

"Di Malaysia, aquathlon memang sentiasa dibayangi kedua-dua 'abangnya' iaitu triathlon dan duathlon (berbasikal dan larian) selama ini. Jadi, kami amat mengharapkan melalui penganjuran NX113 Aquathlon bersempena SEAOWSC akan sedikit sebanyak meningkatkan populariti sukan ini di negara ini," kata Tony.

"Sebagai mempromosikan sukan ini, maka kami cadangkan supaya NX113 Aquathlon dijadikan sebagai perlumbaan kelayakkan bagi Sukan SEA. Proses kelayakkan akan mengambil kira catatan masa semua peserta dan adalah tertakluk kepada segala kriteria yang ditetapkan oleh Majlis Olimpik Malaysia."

Pengarah Perlumbaan NX113 Aquathlon Andy Foo berkata pihaknya komited untuk menganjurkan satu perlumbaan yang kompetitif dan selamat.

"Dengan penganjuran NX113 Aquathlon dilakukan serentak dengan SEAOWSC di venue tersohor Tasik Putrajaya, kami yakin dapat membawakan satu pertandingan yang lebih besar, bagus dan selamat untuk semua peserta," kata Andy.

"Ini adalah satu permulaan yang baik untuk sukan aquathlon yang mempunyai potensi begitu besar untuk diperkembangkan."

Orang ramai yang berminat untuk mengambil bahagian dalam NX113 Aquathlon bolehlah mendaftar menerusi [email protected]. Penyertaan dibuka sejak 16 Disember lalu dan akan ditutup 15 Januari ini.

Tawaran yuran penyertaan awal pada RM150 untuk kategori Elite/Super Sprint, Standard (RM290) dan Sprint (RM220) adalah sah sehingga 31 Disember, 2022. Selepas itu, yuran penyertaan biasa adalah ditetapkan pada harga RM180 bagi Elite/Super Sprint, Standard (RM320) dan Sprint (RM250).

Berita Harian X