Jumaat, 9 Disember 2022 | 6:34pm
Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan KPT, Datuk Dr Pekan Ramli (kiri) mengadakan perbincangan dengan Badan Pembangunan Olahraga Mahasiswa Indonesia (BAPOMI) diwakili Direktur Pembelajaran dan Kemahasiswaan, Kementerian Pendidikan, Sains, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia merangkap Ketua Umum Pengurus Pusat BAPOMI, Dr Ir Sri Gunani Partiwi (kanan) serta Ketua Umum Prestasi Tinggi BAPOMI, Del Asri di Jakarta, semalam. - Foto ihsan FB KPT

Bola sepak tiada dalam senarai awal AUG 2024

KUALA LUMPUR: Tuan rumah Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024, Indonesia membentangkan 18 acara sukan yang bakal dipertandingkan dalam temasya itu tanpa menyenaraikan acara ibu kepada segala pingat iaitu bola sepak.

Temasya ini buat pertama kali dalam sejarah AUG akan berlangsung di dua bandar utama iaitu Surabaya dan Malang.

Tragedi pahit yang mengorbankan ratusan nyawa di Stadium Kanjuruhan, Malang di Jawa Timur pada aksi Liga 1 Indonesia ketika Arema FC menentang Persebaya pada Oktober lalu masih menjadi igauan buruk kepada Indonesia.

"Kita masih ada waktu sebelum memutuskan untuk mengadakan acara bola sepak atau tidak di AUG 2024. Tunggu dan lihat situasi ini sambil berharap kita mendapat jaminan kuat daripada kerajaan mengenai soal keselamatan untuk semua," kata Ketua Bidang Prestasi Tinggi, Badan Pengelola Olahraga Mahasiswa Indonesia (BAPOMI), Del Asri di Jakarta.

Thailand dan Malaysia antara negara yang mendesak Indonesia supaya tetap menyenaraikan acara bola sepak pada temasya itu nanti.

Pada mesyuarat Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC) di Surabaya, baru-baru ini, antara acara yang akan dipertandingkan termasuk olahraga, renang, futsal, badminton, sepak takraw, bola keranjang, judo, pencak silat, wushu, taekwondo, karate, memanah dan petanque.

Sementara itu, Malaysia kekal menerajui Sekretariat AUSC bagi tempoh 2023-2025 selepas memenangi undian mengatasi Indonesia pada Mesyuarat Agong Tahunan AUSC.

Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Pekan Ramli berbangga dengan kepercayaan yang diberikan negara lain terhadap Malaysia.

"Kita terus diberi kepercayaan ini sejak 2010 oleh kebanyakan negara anggota tetapi pada waktu yang sama kita juga perlu melepaskan tanggungjawab ini kepada negara lain atas semangat setiakawan negara ASEAN.

"Jika ada negara yang sudah menyatakan hasratnya mengapa tidak kita lepaskan kepada mereka selepas ini," kata Pekan.

Berita Harian X