KUALA LUMPUR: Malaysia terpaksa berpuas hati mengakhiri saingan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2022 di tempat keempat selepas tewas di tangan Korea Selatan 0-4 pada aksi penentuan tempat ketiga/keempat di Potchefstroom, Afrika Selatan, sebentar tadi.
Korea yang turut menewaskan skuad negara ketika saingan peringkat kumpulan sebelum ini membuka tirai jaringan menerusi gol padang Seo Inwoo pada minit ke-22 sebelum Lee Namyong meledak gol kedua minit ke-26.
Juara Asia itu semakin garang apabila berjaya meledak gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Hwang Taeil pada minit ke-39 sebelum Jang Jonghyun melengkapkan kemenangan pasukan itu juga menerusi pukulan sudut penalti minit ke-59.
Semalam, skuad negara di bawah bimbingan Arul Selvaraj gagal melangkah ke final selepas tewas di tangan Ireland 0-3 dalam aksi separuh akhir.
Malaysian Tigers selepas ini akan mengalihkan fokus terhadap persiapan bagi menghadapi Piala Dunia di Bhubaneswar, India dari 13 hingga 29 Januari ini.