Sabtu, 3 Disember 2022 | 9:05pm
Aksi saingan MIHL musim lalu. - Foto ihsan FB MHC
Aksi saingan MIHL musim lalu. - Foto ihsan FB MHC

16 pasukan rebut kejuaraan hoki dalam dewan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 pasukan mengesahkan penyertaan bagi merebut kejuaraan Kejohanan Liga Hoki Dalam Dewan (MIHL) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak pada 10 hingga 18 Disember ini.

Daripada jumlah itu, sembilan pasukan berentap dalam kategori lelaki manakala bakinya kategori wanita, dengan menggunakan format liga satu kumpulan dan empat pasukan teratas akan melangkah ke separuh akhir.

Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan dan Akademi Hoki, Raja Ashman Shah Shurizan Mansor berharap penampilan beberapa pasukan baharu tahun ini akan meningkatkan lagi tahap kompetitif kejohanan dan permainan setiap pasukan bertanding.

"Kami sangat gembira dengan perkembangan ini kerana penampilan pasukan baharu akan membuka ruang untuk melihat keupayaan pemain baharu yang boleh diketengahkan bagi diserap ke pasukan kebangsaan.

"Apa yang ingin dilihat pada edisi kedua ini adalah mutu pemainan lebih tinggi daripada setiap pasukan kerana terdapat pasukan yang membariskan pemain kebangsaan yang telah muncul juara Piala Asia Hoki Dalam Dewan di Bangkok, Thailand, baru-baru ini," katanya menerusi kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia hari ini.

Raja Ashman turut berharap MIHL dapat menjadi platform untuk barisan jurulatih memberi perhatian sepenuhnya kepada Sukan Hoki Dalam Dewan.

Tahun lalu, ATM-The Gladiators menjulang kejuaraan edisi sulung saingan lelaki MIHL, manakala DBKL HT muncul juara bagi kategori wanita.

- BERNAMA

Berita Harian X