Jumaat, 2 Disember 2022 | 7:53pm
Aksi pemain Malaysia (jersi kuning) ketika bertemu Jepun di Afrika Selatan, kelmarin. Malaysia menang 5-1. - Foto ihsan FB MHC
Aksi pemain Malaysia (jersi kuning) ketika bertemu Jepun di Afrika Selatan, kelmarin. Malaysia menang 5-1. - Foto ihsan FB MHC

Malaysia positif mara ke final di Afrika Selatan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj percaya tiada yang mustahil buat barisan pemainnya menundukkan Ireland pada aksi separuh akhir Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), esok sekali gus mengesahkan tiket ke pentas final.

Walaupun mengakui Ireland memiliki kelebihan yang mana rata-rata pemain pasukan itu beraksi dalam saingan Liga Belanda dan Belgium, Arul berkata Malaysia juga mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh digunakan bagi memenangi perlawanan.

Katanya, momentum pemain negara kini berada di tahap yang terbaik selepas bangkit untuk memenangi dua perlawanan terakhir peringkat kumpulan selepas tewas aksi pertama di tangan Korea Selatan.

Selain itu, dia percaya turun beraksi pada jam 1.30 tengah hari waktu tempatan juga memberi kelebihan buat pemain negara untuk menguasai perlawanan.

"Kekuatan pasukan Ireland terletak kepada individu mereka dan kekuatan kita pula adalah kelajuan yang dimiliki pemain yang dilihat mampu memerangkap lawan.

"Begitupun pasukan Ireland nampak kuat apabila mereka meraih sembilan mata penuh dari tiga perlawanan tetapi momentum kita juga nampak bagus terutama selepas kalah kepada Korea pada perlawanan pertama," katanya.

Semalam, skuad negara mengesahkan tiket ke separuh akhir dengan bergaya apabila membelasah Jepun 5-1 dalam aksi terakhir untuk muncul naib juara Kumpulan B.

Juara kejohanan itu akan layak secara automatik ke Liga Pro FIH yang menghimpunkan pasukan terbaik dunia bagi musim 2023-2024.

Kejohanan Piala Negara-Negara kali ini menjadi sebahagian daripada persiapan skuad negara sebelum menghadapi saingan di Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar dan Rourkela, India dari 13 hingga 29 Januari depan.

Berita Harian X