KUALA LUMPUR: Malaysia mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dengan bergaya di Potchefstroom, Afrika Selatan, sebentar tadi apabila membelasah Jepun 5-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B.
Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Arul Selvaraj muncul naib juara Kumpulan B selepas mengutip enam mata menerusi dua kemenangan, tiga mata di belakang Korea Selatan selaku juara kumpulan.
Pesta gol skuad Malaysian Tigers bermula seawal minit kedua menerusi gol padang Muhammad Najib Abu Hassan tetapi Jepun berjaya menyamakan kedudukan menerusi Kosei Kawabe tiga minit kemudian.
Bagaimanapun, skuad negara semakin garang apabila meledak gol kedua menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Aminuddin Mohd Zain pada minit ke-23 sebelum penyerang prolifik, Faizal Saari menjaringkan gol padang pada minit ke-34.
Muhammad Najib sekali lagi mencetuskan sensasi apabila meledak gol padang yang juga gol kedua peribadinya dalam perlawanan itu pada minit ke-29 sebelum Mohamad Ashran Hamsani melengkapkan kemenangan Malaysia dengan gol kelima seminit kemudian.
Selaku naib juara Kumpulan B, skuad negara akan menentang juara Kumpulan A bagi perebutan tiket ke final Sabtu ini sama ada Afrika Selatan atau Ireland.