Isnin, 21 November 2022 | 8:29pm
IPOH 10 NOVEMBER 2022.
IPOH 10 NOVEMBER 2022.

Speedy Tigers sasar separuh akhir Piala Negara-Negara

KUALA LUMPUR: Selepas muncul juara Piala Sultan Azlan Shah 2022, skuad hoki lelaki kebangsaan menetapkan sasaran layak ke separuh akhir Kejohanan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Piala Negara-Negara 2022 di Potchefstroom, Afrika Selatan, dari 28 November hingga 4 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak, berkata Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) ingin melihat skuad Speedy Tigers itu melangkah ke separuh akhir selaku juara kumpulan sebelum menyasarkan pencapaian lebih tinggi dalam pusingan kalah mati.

"Kita sasar slot separuh akhir dan jika semua berjalan lancar...anda boleh melihat apa yang terjadi pada Piala Sultan Azlan Shah apabila permulaan kurang menyerlah akhirnya dengan semangat juang tinggi dan arahan daripada jurulatih momentum dan rentak itu berubah.

"Pemain juga sudah sedar kalau kalah tak semestinya kalah sampai habis, kalau menang tak semestinya menang sampai juara. Itu pengajaran paling baik daripada apa berlaku di Sukan Asia dan Piala Asia apabila kita bermula baik tapi tak juara," katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ketua Jurulatih, A Arul Selvaraj berpendapat sasaran itu adil kepada pasukannya yang dibarisi seramai 20 pemain termasuk empat pemain yang tidak beraksi pada Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh dua minggu lalu.

Empat pemain itu termasuk penyerang sensasi Faizal Saari yang baru kembali dari Belanda selepas beraksi bersama kelab ZSV Schaerweijde dan muka baharu, Syarman Mat Tee yang belum meraih sebarang penampilan antarabangsa bersama skuad senior negara.

Arul Selvaraj berkata menjelang kejohanan julung kali dianjurkan itu, perubahan dalam sesi latihan dibuat untuk memantapkan mutu permainan pasukan yang menghuni ranking ke-10 dunia bagi berdepan cabaran Korea Selatan (ke-12 dunia), Kanada (ke-14) dan Jepun (ke-18) dalam saingan Kumpulan B.

"Kita juga berlatih bagaimana kita nak main di Potchefstroom di mana dari segi masa yang berbeza, dari segi bermain di altitud kira-kira 1,500 meter dari aras laut. Prestasi kita perlu dipertingkatkan daripada Piala Sultan Azlan Shah dan teruskan proses yang dibuat dengan bagus," katanya.

Pada sidang media itu, Ahmad Najmi turut mengumumkan senarai 20 pemain yang akan menggalas cabaran negara di Afrika Selatan, namun hanya 18 pemain boleh didaftarkan dan ia akan dimuktamadkan Arul Selvaraj di sana, selain Muhammad Najmi Farizal Jazlan dipilih sebagai ketua pasukan kali ini.

Sementara itu, saingan Kumpulan A, Kejohanan FIH Piala Negara-Negara 2022 mengumpulkan pasukan di ranking ke-11 dunia, Perancis selain Ireland (ke-13), Pakistan (ke-17) dan skuad tuan rumah (ke-16) dalam merebut dua kedudukan terbaik untuk ke separuh akhir.

Juara kejohanan itu akan layak secara automatik ke Liga Pro FIH yang menghimpunkan pasukan terbaik dunia bagi musim 2023-2024.

Kejohanan itu juga menjadi medan persediaan terbaik skuad Speedy Tigers yang akan beraksi di Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar dan Rourkela, India, dari 13 hingga 29 Januari ini.

- BERNAMA

Berita Harian X