Selasa, 8 November 2022 | 8:20pm
Penyokong meraikan kemenangan pasukan kebangsaan menewaskan Jepun 4 - 2 pada aksi terakhir liga sepusingan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2022 di Stadium Azlan Shah, Ipoh, semalam. - Foto BERNAMA
Penyokong meraikan kemenangan pasukan kebangsaan menewaskan Jepun 4 - 2 pada aksi terakhir liga sepusingan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2022 di Stadium Azlan Shah, Ipoh, semalam. - Foto BERNAMA

Peluang terbaik Speedy Tigers cipta sejarah bergelar juara

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan hanya dipisahkan satu perlawanan bagi mencipta sejarah muncul juara buat kali pertama pada saingan Piala Sultan Azlan Shah 2022 di Ipoh.

Skuad Malaysia Tigers bimbingan Arul Selvaraj akan membuat perhitungan dengan Korea Selatan pada aksi final yang akan berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah pada Khamis ini.

Atas kertas, Korea dilabel sebagai pasukan pilihan untuk memenangi aksi final itu dengan status mereka sebagai juara liga pada kempen kali ini, selain turut menundukkan skuad negara 3-0 dalam aksi pertama, minggu lalu.

Bagaimanapun, aksi final dijangka menghadirkan cerita berbeza dengan anak buah Arul pastinya tidak mahu melepaskan peluang terbaik bagi mengakhiri kemarau kejuaraan selama 39 tahun selain menebus kekalahan di tangan Korea dalam perlawanan pembukaan.

Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan jemputan antarabangsa yang mula diperkenalkan pada 1983 itu adalah lima kali muncul naib juara iaitu pada edisi 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

Kini, peluang terhidang buat barisan pemain negara bagi mencipta sejarah dengan kemenangan ke atas juara Sukan Asia 2018, Jepun 4-2 dalam aksi terakhir liga yang membawa Malaysia ke final, malam tadi diangggap sebagai motivasi terbaik menjelang pertemuan dengan Korea.

Katanya, apa yang dipamerkan skuad negara sekarang ini mencerminkan pasukan hoki 'baharu' Malaysia dengan pelbagai perkara positif ditunjukkan ketika menentang Jepun.

"Ini adalah pasukan Malaysia yang baharu. Mereka bermain dengan penuh semangat, pantas, bekerja sebagai satu pasukan dan menunjukkan perwatakan yang luar biasa.

"Pemain berjuang sehingga tamat permainan biarpun kami mendahului dan itu membuktikan semangat juang tinggi yang ada dalam diri mereka," kata Arul mengulas aksi pertemuan menentang Jepun, malam tadi.

Arul, berkata tempoh rehat dua hari yang dimiliki sebelum aksi final akan dimanfaatkan sebaiknya bagi membuat persiapan dan memastikan pemain berada pada tahap prestasi terbaik mereka bagi mengharungi pertemuan dengan Korea.

"Kami mahu mencipta sejarah tetapi saya percaya pemain juga sedar mereka tidak akan berdepan laluan mudah apabila menentang Korea," katanya.

Jadual Piala Sultan Azlan Shah

Esok:

Tempat 5/6 - Mesir mln Afrika Selatan, 4 ptg

Tempat 3/4 - Jepun mln Pakistan, 6.15 ptg

Khamis: Final - Malaysia mln Korea Selatan, 8 mlm

*semua aksi di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak

Berita Harian X