Selasa, 9 Ogos 2022 | 1:23pm
Aksi penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri dalam acara 3 meter papan anjal seirama campuran akhir pada Sukan Komanwel 2022di Pusat Akuatik Sandwell, Birmingham. - Foto BERNAMA.
Aksi penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri dalam acara 3 meter papan anjal seirama campuran akhir pada Sukan Komanwel 2022di Pusat Akuatik Sandwell, Birmingham. - Foto BERNAMA.

Boling padang, terjun perlu beri peluang atlet muda

BIRMINGHAM: Sukan boling padang dan terjun perlu memberi peluang kepada atlet muda mewakili negara pada masa depan susulan kegagalan pada Sukan Komanwel 2021 di sini.

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri

Ngadirin berkata persatuan yang menaungi mereka perlu mencari muka baharu sebagai persediaan termasuk ke Sukan Komanwel di Victoria, Australia empat tahun lagi.

"Kita akan bincang dengan persatuan sukan ini supaya atlet muda diberi peluang. Mereka patut contohi sukan badminton yang sudah pun melahirkan ramai pemain muda dan berjaya memenangi pingat.

"Ini perlu diberi perhatian. Seperti sukan boling padang, kita sasarkan emas dari mereka di sinu tapi gagal. Jadi kira rasa program larihan persatuan perlu dirombak dengan memberi peluang muka baharu," katanya pada sidang media pencapaian kontinjen negara pada temasya Sukan Komanwel 2022 di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; dan Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yaha dan timbalannya, Gerard Monteiro Clair serta Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

Sebelum ini, boling padang dan terjun menjadi sandaran untuk masing-masing meraih satu pingat emas, namun gagal berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Jefri berkata dalam sukan terjun negara seperti Australia dan England sudah lama menggunakan khidmat atlet muda bagi menyertai temasya seperti Sukan Komanwel 2022.

Katanya, ini adalah kali pertama atlet terjun, Datuk Pandele Rinong tidak memenangi sebarang pingat pada temasya sukan besar seperti Sukan Komanwel 2022 di sini.

"Sebelum datang ke sini, dia berjaya memenangi dua gangsa di kejohanan dunia di Hungary dan harapan sudah pasti dia akan turut menyerlah namun gagal," katanya.

Jefri juga mengesahkan pihaknya buat masa ini akan terus menghantar atlet berlatih di luar negara bagi memberi pendedahan kepada mereka.

Katanya, perbincangan akan dilakukan dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi membincangkan mengenai isu babitkan Nauraj Singh dan atlet lompat tinggi, Muhammad Irfan Shamsuddin yan sedang berlatih di Jerman.

Kedua-dua atlet berkenaan gagal menyerlah pada temasya di sini terutama Nauraj yang tersingkir awal pada pusingan final acara lompat tinggi.

Berita Harian X