Rabu, 20 Julai 2022 | 9:33pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) melihat kibaran Jalur Gemilang oleh Chef De Mission Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya (kiri) dan timbalannya, Monteiro Gerard (kanan) pada majlis penyerahan Jalur Gemilang ke temasya itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tiga, kiri). - Foto BERNAMA.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) melihat kibaran Jalur Gemilang oleh Chef De Mission Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya (kiri) dan timbalannya, Monteiro Gerard (kanan) pada majlis penyerahan Jalur Gemilang ke temasya itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tiga, kiri). - Foto BERNAMA.

Kontinjen negara tetap berdepan cabaran sukar di Komanwel

KUALA LUMPUR: Kontinjen negara ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 tetap berdepan cabaran sukar untuk mencapai sasaran baharu enam pingat emas biarpun jumlah itu kurang satu berbanding tujuh yang ditetapkan sebelum ini.

Pemerhati sukan tempatan, Dr Pekan Ramli, berkata atlet negara khususnya diletakkan sebagai prospek emas sudah pastinya tidak akan menerima laluan mudah berdasarkan peningkatan prestasi atlet negara lain yang turut akan bertanding di temasya itu bermula dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

"Saya percaya temasya kali ini sangat mencabar kerana kita dapat lihat atlet negara lain pun sedang meningkat dalam pelbagai acara. Sebagai contoh badminton, biarpun tiada negara seperti China, Korea Selatan dan Jepun tetapi kita tetap perlu berwaspada dengan India yang menjadi ancaman utama kita.

"Saya optimis terjun boleh sumbang emas tetapi atlet kita tidak boleh memandang mudah cabaran daripada pesaing mereka. Atlet perlu bersedia dan mempersiapkan diri untuk berdepan persaingan yang sengit.

"Selain itu, selepas penarikan diri Lee Zii Jia (pemain badminton perseorangan lelaki), kita buat rombakan sasaran yang mana ia menunjukkan tahap keyakinan kita rendah untuk bertanding di Sukan Komanwel kali ini," katanya kepada BH Sukan.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan sasaran baharu kontinjen negara dengan enam emas menjadi buruan di Birmingham berbanding tujuh yang ditetapkan sebelum ini.

Sasaran baharu itu dibuat disebabkan beberapa faktor termasuk penarikan diri Zii Jia selain atlet skuasy wanita negara, S Sivasangari yang tidak dapat beraksi kerana terbabit dalam kemalangan.

Berdasarkan prestasi semasa atlet negara, enam sukan diletakkan sebagai prospek utama untuk mencapai sasaran berkenaan iaitu daripada sukan akuatik terjun, angkat berat, badminton, gimrama, boling padang dan powerlifting.

Mengulas lanjut, Pekan, berharap jurulatih dan atlet sempat mengubah pelan periodisasi latihan mereka untuk mencapai kemuncak prestasi di Sukan Komanwel kali ini selepas Sukan Asia Hangzhou yang dijadual berlangsung pada 10 hingga 25 September ditangguhkan ke tahun depan.

"Ada kalangan atlet yang pada awalnya mungkin menganggap Sukan Komanwel kali ini adalah sebahagian daripada persiapan mereka untuk mencapai prestasi lebih baik di Sukan Asia.

"Namun, apabila Sukan Asia ditangguhkan, saya berharap mereka sudah ubah pelan periodisasi mereka untuk mencapai kemuncak prestasi di Sukan Komanwel," katanya.

Berita Harian X