Rabu, 20 Julai 2022 | 4:25pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan Jalur Gemilang kepada Chef De Mission (CDM) Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya (tiga kiri) pada majlis penyerahan Jalur Gemilang ke temasya itu di sebuah hotel di ibu negara semalam. - Foto BERNAMA.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan Jalur Gemilang kepada Chef De Mission (CDM) Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya (tiga kiri) pada majlis penyerahan Jalur Gemilang ke temasya itu di sebuah hotel di ibu negara semalam. - Foto BERNAMA.

Sasar enam emas di Sukan Komanwel, ini penjelasan CDM

IPOH: Rekod peribadi dan pencapaian semasa atlet negara diambil kira sebelum dijadikan sebagai sasaran baharu dalam memburu enam pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Ketua kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata sasaran itu dianggap realistik berdasarkan rekod dan pencapaian atlet negara dalam acara atau pertandingan yang ditandingi mereka sebelum ini berbanding atlet negara lain.

"Insya-Allah dengan atlet yang ada, kita akan mencapai sasaran tersebut. Ada yang tanya, kenapa kita turunkan sasaran dari edisi Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia. Kita kena realistik...yang jadi ukuran kita sekarang adalah rekod peribadi dan pencapaian atlet.

"Kita buat sasaran enam emas itu sebab kita sudah buat perbandingan rekod atlet kita dengan negara lain," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak selepas penangguhan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Sebelum ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyasarkan tujuh emas menerusi badminton (dua emas) manakala gimrama, boling padang, angkat berat dan skuasy serta powerlifting masing-masing satu emas.

Namun sasaran itu berubah susulan penarikan diri jaguh perseorangan badminton negara Lee Zii Jia dan atlet skuasy wanita negara, S Sivasangari yang tidak dapat beraksi kerana terbabit dalam kemalangan.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faisal Azumu mengumumkan sasaran baharu enam emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan ia adalah realisitik susulan beberapa faktor menimpa atlet negara.

Kontinjen Malaysia diketuai Shahrul Zaman dan 105 atlet yang menyertai 14 jenis sukan termasuk empat sukan para, dijangka berlepas ke Birmingham, England secara berperingkat mulai Sabtu ini.

Pada Sukan Komanwel 2018, kontinjen negara meraih tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa.

- BERNAMA

Berita Harian X