Isnin, 18 Julai 2022 | 7:17am
Pemain Australia Cameron Smith bersama trofi Claret Jug selepas memenangi Terbuka British ke-150 di St Andrews. - Foto REUTERS
Pemain Australia Cameron Smith bersama trofi Claret Jug selepas memenangi Terbuka British ke-150 di St Andrews. - Foto REUTERS

Smith catat rekod di St Andrews

ST ANDREWS, United Kingdom: Pemain Australia Cameron Smith memenangi Terbuka British ke-150 di St Andrews selepas mencatat pusingan 64 untuk mengatasi pemain pilihan Rory McIlroy di Old Course.

Ia adalah gelaran major pertamanya selepas mencatat keseluruhan 20 bawah par 268, satu pukulan di depan Cameron Young dari Amerika Syarikat dan dua di depan McIlroy.

Smith memulakan pusingan terakhir dengan ketinggalan empat pukulan di belakang pendahulu, tetapi catatan lapan bawah par membolehkannya memenangi Claret Jug.

Pemain nombor enam dunia itu sedar dia perlu melakukan sesuatu yang istimewa untuk memenangi kejohanan major pertamanya, dan Smith melakukan lapan birdie - termasuk lima berturut-turut dari lubang ke-10 - tanpa tercicir sebarang pukulan.

Pada usia 28 tahun, Smith menjadi pemain Australia pertama selepas hampir tiga dekad berjaya memenangi Terbuka British sejak Greg Norman memenangi Claret Jug keduanya di Royal St George pada tahun 1993.

Pemain berasal dari Brisbane dengan gaya rambut "mullet" itu juga menjadi pemain Australia ketiga memenangi Terbuka British di Old Course, St Andrews, selepas Peter Thomson pada tahun 1955 dan Kel Nagle pada tahun 1960.

"Memenangi Terbuka British adalah kemuncak setiap pemain golf tetapi melakukannya di St Andrews sukar dipercayai. Tempat ini amat menarik. Saya sukakan lapangan dan bandarnya," kata Smith.

Catatan 20 bawah par Smith adalah yang catatan kemenangan paling rendah dalam kejohanan Terbuka British di St Andrews, mengatasi rekod Tiger Woods yang memenangi edisi tahun 2000 dengan 19 bawah par.

Pendahulu bersama hari ketiga, McIlroy dan Viktor Hovland, gagal mengekalkan rentak apabila masing-masing mencatat pusingan 70 dan 74 pada hari terakhir. - AFP

Berita Harian X