Sabtu, 16 Julai 2022 | 7:54am
Pemain Australia Cameron Smith mendahului Terbuka British selepas dua pusingan dengan catatan 13 bawah par 131 di lapangan Old Course, St Andrews. - Foto REUTERS
Pemain Australia Cameron Smith mendahului Terbuka British selepas dua pusingan dengan catatan 13 bawah par 131 di lapangan Old Course, St Andrews. - Foto REUTERS

Smith terajui Terbuka British, Woods tersingkir

ST ANDREWS, United Kingdom: Pemain Australia Cameron Smith mendahului Terbuka British selepas dua pusingan apabila melakukan pusingan 64 untuk berada 13 bawah par keseluruhan.

Selepas melakukan lima bawah par 67 pada pusingan pertama, pemain nombor enam dunia itu kini mendahului dua pukulan di depan pemain 25 tahun dari Amerika Syarikat Cameron Young.

Bagaimanapun ancaman utama Smith ialah Rory McIlroy yang hanya tiga pukulan di belakang selepas mencatat pusingan 66 dan 68 untuk 10 bawah par keseluruhan.

Catatan 131 pukulan dilakukan Smith adalah rekod terendah untuk dua pusingan dalam sejarah Terbuka British di lapangan St Andrews.

"Ia kedudukan yang baik. Saya sudah kerap berada di kedudukan ini sejak beberapa tahun lalu, namun keadaan tidak berpihak kepada saya.

"Saya perlu bersabar sepanjang hujung minggu. Saya rasa lapangan ini akan menjadi lebih keras dan laju. Jadi kena sabar dan melakukan putt dengan baik," kata Smith yang menjuarai Kejuaraan Pemain-Pemain pada Mac.

Sementara itu juara tiga kali Terbuka British, Tiger Woods terpaksa melupakan aksi di St Andrews selepas mencatat sembilan atas par 153.

Pemain Amerika Syarikat berusia 46 tahun itu melakukan pusingan 78 dan 75 untuk terlepas had kelayakan buat kali keempat sepanjang penampilannya di Terbuka British.

"Saya cukup bernasib baik dapat memenanginya dua kali di sini, dan saya rasa sedih kerana saya tidak tahu bagaimana kesihatan saya pada masa akan datang.

"Saya rasa seperti saya mampu bermain di Terbuka British akan datang, tetapi saya tidak tahu sama ada saya mampu bertahan cukup lama sehingga ia kembali ke sini," kata Woods. - AFP

Berita Harian X