Jumaat, 15 Julai 2022 | 7:48am
Pemain Amerika Syarikat Tiger Woods membuat pukulan tee di lubang ke-18 lapangan Old Course, St Andrews pada kejohanan Terbuka British ke-150. - Foto REUTERS
Pemain Amerika Syarikat Tiger Woods membuat pukulan tee di lubang ke-18 lapangan Old Course, St Andrews pada kejohanan Terbuka British ke-150. - Foto REUTERS

Woods mula langkah kiri di St Andrews

ST ANDREWS, United Kingdom: Kepulangan Tiger Woods ke Terbuka British kurang memberangsangkan apabila juara tiga kali itu mencatat enam atas par 78 di St Andrews dan peluang untuk layak ke pusingan akhir tampak tipis.

Kehadiran Woods buat pertama kali di Terbuka British sejak tahun 2019, kejohanan yang menyaksikan dia menjulang Claret Jug sebanyak dua kali, amat dinantikan peminat.

Namun juara major 15 kali itu bermula dengan double bogey di lubang pertama apabila bolanya termasuk ke dalam air dan ia mempengaruhi permainan Woods di lubang-lubang berikutnya.

Woods terlepas kejohanan itu tahun lalu akibat kemalangan kereta pada Februari yang menyebabkan kaki kanannya terpaksa dibedah.

Kesan daripada kemalangan itu menyaksikan Woods berjalan terhincut-hincut di lapangan dalam pusingan yang memakan masa lebih enam jam akibat permainan perlahan.

"Ia hari yang panjang. Ini antara kejohanan yang paling dinantikan, cuma saya tidak melakukannya dengan baik," kata Woods.

Woods kini ketinggalan 14 pukulan di belakang pendahulu, Cameron Young selepas pusingan pertama. Hanya 70 pemain teratas akan melepasi had kelayakan ke dua pusingan terakhir. - AFP

Berita Harian X