Khamis, 14 Julai 2022 | 10:42am
Jon Rahm dari Sepanyol membuat pukulan ketika hari kedua latihan Terbuka British di St. Andrews, Scotland, Britain. - EPA
Jon Rahm dari Sepanyol membuat pukulan ketika hari kedua latihan Terbuka British di St. Andrews, Scotland, Britain. - EPA

Kontroversi tak halang St Andrews hadapi Terbuka British

ST ANDREWS, United Kingdom: Aksi ke-150 Terbuka British akan berlangsung di Old Course dekat St Andrews hari ini dengan penganjur lebih berminat untuk memberi perhatian kepada kejohanan bersejarah itu walaupun wujud masalah berikutan perpecahan daripada siri LIV Golf.

Sebahagian pemain yang menyertai kejohanan mendapat sokongan Arab Saudi itu menyertai kejuaraan berlangsung minggu ini selepas penganjur, R&A tidak mengharamkan mereka, berbeza dengan tindakan diambil Jelajah PGA dan Jelajah Dunia DP.

Bekas juara Open, Phil Mickelson, Brooks Koepka, Dustin Johnson dan Sergio Garcia antara pemain LIV series yang berada di St Andrews, dan kemenangan buat seorang daripada mereka tidak mengurangkan ketegangan dalam sukan itu.

"Sesiapa sahaja yang menang Ahad ini akan mencipta nama dalam sejarah, dan saya akan menyambut mereka di lubang ke-18," kata Ketua Eksekutif R&A, Martin Slumbers.

"Ini kejohanan golf. The Open ialah mengenai pemain terbaik dunia bermain dan saya mahu melihat siapa akan melakukan pukulan terendah pada malam Ahad."

Begitupun Slumbers turut mengkritik kejohanan disokong Arab Saudi itu yang menawarkan hadiah $25 juta (RM111 juta) untuk setiap kejohanan 54 lubang berbanding $14 juta (RM62.17 juta) bagi kejohanan minggu ini.

Model diperkenalkan LIV katanya, "bukanlah penyelesaian jangka panjang terbaik untuk sukan itu secara keseluruhan dan ia dipandu oleh wang."

"Ia tidak memandang budaya berdasarkan merit dan semangat kejohanan terbuka yang menjadikan golf sangat istimewa," katanya.

Rory McIlroy ialah antara pemain yang tidak bersetuju dengan siri baharu itu dan pemain Ireland Utara berkenaan lebih suka melihat tiada pemain daripada kelompok itu berjaya di St Andrews.

"Bagi saya, ya, saya rasa ia lebih baik untuk sukan itu," katanya. - AFP

Berita Harian X