Rabu, 13 Julai 2022 | 8:20pm
Rahm mahu ikut jejak langkah bintang legenda Ballesteros. Foto Agensi
Rahm mahu ikut jejak langkah bintang legenda Ballesteros. Foto Agensi

Rahm teruja sejarah 'unik' St Andrews

ST ANDREWS (Scotland): Hampir empat dekad berlalu sejak kemenangan ikon golf, Seve Ballesteros pada Terbuka British di St Andrews dan kini Jon Rahm berazam untuk melakar satu lagi sejarah sukan Sepanyol di Old Course.

Rahm dilahirkan 10 tahun selepas Ballesteros merangkul Claret Jug kedua daripada tiga kemenangan pada 1984, sekali gus muncul sebagai antara ikon terkemuka dan disegani dalam sukan itu.

Prospek untuk menuruti jejak langkah legenda itu menjadikan minggu ini sesuatu yang perlu digunakan sebaik mungkin oleh pemain berusia 27 tahun itu dalam usahanya meraih gelaran Major kedua.

"Pada pendapat saya, inilah sebenarnya kejohanan kemuncak sukan golf," katanya. "Saya tidak fikir ada yang lebih baik daripada menang di St Andrews.

"Tahun 1984 sangat istimewa buat orang Sepanyol dan imej Seve meraikan, ia adalah imej ikonik bukan sahaja untuk kami tetapi untuk dunia golf.

"Ia kejohanan tertua di lapangan tertua dan di mana ia bermula. Terutamanya apabila anda melihat persediaan dan cabaran yang bakal dihadapi semua pemain minggu ini, ia pasti menyeronokkan. Saya tidak sabar menanti untuk turun ke lapangan."

Rahm belum pernah tampil pada Terbuka British di 'home of golf' selepas membuat kemunculan sulung pada 2016 namun pernah beraksi di Alfred Dunhill Links tiga tahun lalu.

Dia gagal melepasi had kelayakan ketika itu tetapi mendapat banyak panduan bagaimana untuk menangani cabaran kejohanan berprestij itu yang pasti membantunya kali ini.

"Jangan pukul dengan tepat," katanya. "Itulah satu perkara yang saya pelajari.

"Ia berpandukan angin. Apa juga keadaan dan arah angin yang anda hadapi mampu mengubah padang golf ini secara drastik. Anda perlu tahu bila dan masanya untuk bertindak dengan baik, bila untuk bermain secara agresif atau anda akan kecewa."

Pemain Sepanyol itu muncul antara pilihan utama di Royal St George's tahun lalu namun berkongsi tangga ketiga keseluruhan selepas catatan satu atas par 71 pada pusingan pertama ternyata mengecewakannya. Dia menyamai catatan juara Collin Morikawa 64, 68 dan 66 pada tiga hari berikutnya.

Berita Harian X