Rabu, 13 Julai 2022 | 3:00pm
Skuad basikal bukit ikat kontrak bersama MSN sebagai atlet sepenuh masa.
Skuad basikal bukit ikat kontrak bersama MSN sebagai atlet sepenuh masa.

MSN iktiraf jasa skuad basikal bukit

KUALA LUMPUR: Kejayaan skuad berbasikal bukit membawa pulang pingat emas di Sukan SEA Hanoi, Mei lalu membuka laluan kepada atlet sukan itu disenaraikan dalam program sepenuh masa Majlis Sukan Negara (MSN) buat kali pertama.

Naib Presiden 1 Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Firdaus Arshad, berkata empat atlet disenaraikan iaitu Nur Assyira Zainal Abidin, Natasya Soon, Ahmad Syazrin Awang Ilah dan Zulfikri Zulkifli dengan mereka akan mengikat kontrak bersama MSN sebagai atlet sepenuh masa.

"Susulan kecemerlangan atlet basikal bukit negara di Hanoi, MSN membuat langkah awal dengan untuk menyenaraikan mereka untuk program Road To Kemboja dan seterusnya Sukan SEA 2025 dengan sasaran yang diletakkan di Sukan SEA Kemboja adalah tiga emas dari sukan berbasikal.

"Ini adalah kali pertama MSN membuka jalan untuk atlet basikal bukit ini berada di bawah program MSN.

"Jika tidak selama ini memang mereka tidak pernah berada di bawah program negara dan kali terakhir basikal bukit membawa pulang pingat adalah pada Sukan SEA Palembang 2011 menerusi Maziyaton Radzi," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama MSN, hari ini.

Keempat-empat atlet berkenaan akan mengikat kontrak bermula Oktober sehingga Disember ini dengan lanjutan kontrak akan disambung sehingga Jun tahun depan.

Mereka akan dinilai sepanjang tempoh tiga bulan ini menerusi beberapa siri kejohanan antarabangsa dan tempatan.

Dalam pada itu, Firdaus turut memberitahu kejayaan pelumba basikal trek wanita, Nurul Izzah Izati Mohd Asri memenangi emas dalam acara 500 meter ujian masa di Kejohanan Asia, bulan lalu dan Nor Aisyah Munirah Chek Ramli yang meraih perak di Sukan SEA menyaksikan mereka dinaikkan pangkat daripada program pelapis ke program podium.

Berita Harian X