Rabu, 13 Julai 2022 | 1:52pm
Woods dilaporkan hanya mahu menumpukan kepada kejohanan Major. Foto Agensi
Woods dilaporkan hanya mahu menumpukan kepada kejohanan Major. Foto Agensi

Terbuka British ke-150 aksi terakhir Woods di Old Course?

ST ANDREWS (Scotland): Jika ia kejohanan Terbuka British terakhir Tiger Woods di St Andrews, juara tiga kali itu tidak akan bersedih sebaliknya tetap gembira kerana dia mampu kembali menjejakkan kaki ke lapangan yang dianggapnya terbaik di dunia.

Woods, 46, mengakui edisi ke-150 kejohanan Major itu mungkin menjadi yang terakhir buatnya di Old Course, ketika kecederaan kaki yang dialaminya dalam kemalangan kereta tahun lalu menyebabkan perjalanan kariernya kini tidak menentu.

Setakat minggu ini, bintang golf Amerika Syarikat (AS) itu sudah bermain 58 lubang dan yang lebih penting dia mampu bergerak dengan bebas tanpa rasa sakit sepanjang latihan empat hari selain menghadiri majlis sambutan bekas juara pada petang Isnin.

Namun Woods masih berada pada peringkat awal pemulihannya dan ketika Royal Liverpool, Royal Troon dan Royal Portrush disenaraikan sebagai tuan rumah bagi tiga tahun akan datang, dia tidak dapat meramalkan sama ada mampu terus beraksi di peringkat tertinggi.

Menyedari dia tidak mampu meramal masa depan, Woods berazam untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang hadir kali ini di Old Course.

"Saya tidak tahu berapa banyak lagi peluang untuk beraksi di St Andrews, tapi saya mahukan yang ini," katanya.

"Ia bermula buat saya di sini pada 1995 dan jika ia berakhir di sini pada 2022, saya pasrah. Jika sebaliknya tidak mengapa. Jika saya berpeluang untuk beraksi sekali lagi di sini, ia pasti hebat tetapi ia bukan satu jaminan."

Woods membuat penampilan sulung Terbuka British di St Andrews, menjulang Claret Jug pertamanya di situ dan menganggap Old Course sebagai lapangan paling digemarinya.

Sebelum ini, pemain berpengalaman AS dengan 15 kejuaraan Major itu pernah melahirkan hasratnya untuk tidak bermain banyak kejohanan sepanjang kalendar tahunan sebaliknya menumpukan kepada kejuaraan Major sahaja.

Woods akan turun memulakan kempennya pada Khamis ini jam 2.59 petang waktu tempatan dengan ditemani pemain England, Matt Fitzpatrick dan Max Homa dari AS dalam kelompok sama dengannya.

Berita Harian X