Selasa, 12 Julai 2022 | 2:50pm
Morikawa (kiri) menyerahkan kembali Claret Jug kepada penganjur. Foto Agensi
Morikawa (kiri) menyerahkan kembali Claret Jug kepada penganjur. Foto Agensi

Morikawa ingin bawa pulang Claret Jug sekali lagi

LONDON: Kejohanan golf Terbuka British bermula di St Andrews, Scotland Khamis ini dan juara bertahan Collin Morikawa sudah berasa bahangnya namun percaya mempertahankan gelarannya pada kejuaraan edisi ke-150 itu pasti mampu mengatasi kejayaannya di Royal St George's.

Bintang muda Amerika Syarikat (AS) itu melakar sejarah di Sandwich tahun lalu apabila memenangi kejuaraan pada penampilan sulungnya, selepas sebelumnya turut menjuarai Kejohanan PGA 2020 pada penampilan pertamanya.

Morikawa mencatat 66 tanpa bogey pada pusingan akhir untuk mengumpul agregat 15 bawah par 265 apabila dia mengatasi pendahulu Louis Oosthuizen dari Afrika Selatan dan mengekang asakan lewat rakan senegara Jordan Spieth.

Namun selepas menyerahkan semula Claret Jug dengan berat hari pada pagi Isnin lalu, Morikawa kembali bersemangat untuk memenanginya semula di St Andrews atau dianggap 'rumah buat sukan golf' - lapangan yang kali pertama dijejakinya.

"Ia menyentap perasaan. Benar-benar menyentap," katanya ketika ditanya bagaimana perasaannya ketika melepaskan trofi itu. "Saya bangun pagi ini dan melihatnya. Replikanya tetap cantik tetapi tidak sama.

"Jelas matlamatnya mahu mendapatkan trofi itu kembali. Sekarang saya sudah tahu bagaimana rasanya memiliki Claret Jug selama setahun, tiada apa-apa yang seumpama dengannya.

"Ia tahun yang sangat istimewa. Walaupun saya memenangi kejohanan ini setahun lalu, ia akan kekal dalam ingatan sepanjang hayat. Ia agak hebat tetapi saya fikir cuba mempertahankan kejuaraan minggu ini pada edisi ke-150 di St Andrews pasti menjadi lebih istimewa."

Pemain berusia 25 tahun itu mengakui dia sudah terpesona dengan aura St Andrews selepas kali pertama hadir di lapangan terkenal itu, sekalipun dia enggan terlalu memikirkan kejayaan sulungnya tahun lalu.

"Saya sukakannya. Saya kini tahu mengapa pemain lain menyukainya. Saya dapat jangkakan betapa istimewanya minggu ini. Saya boleh bayangkan banyak corak permainan boleh dipamerkan bergantung kepada cuaca," katanya.

Morikawa, pemain nombor lapan dunia akan dicabar rakan senegaranya Scottie Scheffler yang juga pemain nombor satu dunia, Rory McIlroy dari Ireland Utara, Jon Rahm dari Sepanyol dan Justin Thomas dari AS bagi edisi ke-150 Terbuka British.

Berita Harian X