Ahad, 10 Julai 2022 | 1:08pm

Sasaran lima emas lebih realistik

IPOH: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan bukan satu tugas mudah untuk kontinjen negara mengekalkan sasaran meraih tujuh pingat emas pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadual berlangsung 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Beliau berkata, sasaran sekurang-kurangnya menggenggam lima atau enam pingat emas dianggap lebih realistik selepas penarikan diri jaguh badminton negara Lee Zii Jia serta kemalangan yang menimpa pemain skuasy S Sivasangari.

"Sebagai contoh, saya fikir kita boleh letakkan sasaran pingat emas kepada atlet terjun Datuk Pandelela Rinong berdasarkan prestasi beliau di Kejohanan Dunia 2022 di Budapest, Hungary baru-baru ini.

"Ini merupakan pendapat saya secara peribadi, bagaimanapun saya menyerahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memikirkan semula sasaran pingat emas tersebut," katanya ketika ditemui pemberita selepas meraikan 23 bekas atlet pada Majlis Makan Malam Sambutan Lagenda Balapan dan Padang Sukan Olahraga Negeri Perak di Kelab Diraja Ipoh, malam tadi.

Di Hungary, Pandelela memenangi dua pingat gangsa dalam 10m platform wanita dan 10m platform seirama, menewaskan penerjun dari negara Komanwel yang lain.

Pada 28 Jun lepas, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia Datuk Shahrul Zaman Yahya menegaskan sasaran tujuh pingat emas yang ditetapkan bakal berubah ekoran ketiadaan Zii Jia dan Sivasangari.

Ahmad Faizal berkata perkara itu akan dibincangkan serta diperhalusi dalam masa terdekat bersama pihak berkaitan.

Beliau berkata pihaknya mengharapkan 102 atlet negara yang bakal beraksi pada temasya sukan kedua terbesar di dunia tersebut mempamerkan aksi terbaik sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

"Saya yakin atlet kita mampu melakar kejutan pada temasya kali ini atau sekurang-kurangnya menimba pengalaman untuk dijadikan panduan dalam meningkatkan prestasi masing-masing," katanya.

Mengulas keadaan terkini Sivasangari yang cedera dalam kemalangan kereta pada 26 Jun lepas, Ahmad Faizal berkata atlet kelahiran Kedah yang menghuni rangking ke-16 dunia itu berada dalam keadaan stabil, namun memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

"Jadi mari kita sama-sama mendoakan beliau dan memberi dorongan agar tidak patah semangat kerana banyak perkara yang perlu beliau lakukan selepas ini," katanya. - BERNAMA

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (lapan, kanan) bergambar bersama bekas atlet negara pada Majlis Makan Malam Sambutan Lagenda Balapan dan Padang Sukan Olahraga Negeri Perak di Kelab Ipoh Diraja malam tadi. FOTO BERNAMA
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (lapan, kanan) bergambar bersama bekas atlet negara pada Majlis Makan Malam Sambutan Lagenda Balapan dan Padang Sukan Olahraga Negeri Perak di Kelab Ipoh Diraja malam tadi. FOTO BERNAMA
Berita Harian X