Ahad, 26 Jun 2022 | 9:05pm
Aksi Rachel ketika Sukan SEA Hanoi bulan lalu.
Aksi Rachel ketika Sukan SEA Hanoi bulan lalu.

Rachel melawan masa

KUALA LUMPUR: Gimnas artistik wanita negara, Rachel Yeoh berharap kecederaan buku lali dialaminya dapat segera sembuh sebelum temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 bakal membuka pentas saingan bermula 28 Julai ini.

Pemenang dua pingat emas di Sukan SEA Vietnam 2021 itu menjelaskan, kecederaan dialaminya ketika latihan itu tidak begitu serius dan kini sedang mendapatkan rawatan pemulihan di Institut Sukan Negara (ISN).

"Kecederaan ringan saja," kata gimnas berusia 23 tahun dari Pulau Pinang yang bakal ditemani rakan seperjuangan, Muhammad Shahrul Aimy di Birmingham nanti.

"Saya harap ia dapat pulih dan saya boleh kembali berlatih secepat mungkin."

Di Hanoi baru-baru ini, Rachel meraih pingat emas dalam acara palang tidak sejajar dan titian imbangan selain gangsa, acara all around sekali gus membantu kem gimnastik membawa pulang empat emas, dua perak dan dua gangsa.

Justeru, Rachel mahu membawa momentum diperolehnya di Hanoi ke Birmingham meskipun menyifatkan saingan sengit bakal diterimanya di temasya empat tahun sekali itu.

"Sudah tentu saya mahukan sesuatu yang lebih baik dan akan meningkatkan lagi rutin serta yang lain. Bagi saya, semua atlet dari negara lain ada kelebihan masing-masing dan semuanya bagus.

"Apapun, saya hanya mahukan yang terbaik dan menunjukkan kemampuan diri saya," katanya yang bakal menyertai kesemua rutin dipertandingkan termasuk all around individu.

Berita Harian X