Selasa, 21 Jun 2022 | 3:51pm
Atlet angkat berat Negara, Muhammad Erry Hidayat ketika memenangi gangsa acara angkat berat lelaki 73 kg pada temasya Sukan SEA 2021 di My Dinh Sport and Training Center, Vietnam, baru-baru ini. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin.
Atlet angkat berat Negara, Muhammad Erry Hidayat ketika memenangi gangsa acara angkat berat lelaki 73 kg pada temasya Sukan SEA 2021 di My Dinh Sport and Training Center, Vietnam, baru-baru ini. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin.

Semangat Erry membara raih pingat di Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR: Sukan Komanwel Birmingham 2022 hanya berbaki kurang 40 hari daripada sekarang dan bagi atlet angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat, dia kini dalam persiapan penuh bagi menghadapi temasya empat tahun sekali itu.

Dalam tempoh itu katanya, dia dan rakan pasukan yang lain bakal menghadapi satu program latihan sebagai persediaan khusus di Lampung, Indonesia sebelum temasya membuka tirainya 28 Julai ini.

Pemenang pingat gangsa di Sukan SEA Vietnam 2021 itu juga berkata, semangatnya untuk menghadapi Sukan Komanwel turut berkobar-kobar dalam usahanya mengatasi catatan angkatan bebanan keseluruhan 316 kilogram (kg) dilakukannya di Hanoi.

"Buat masa ini saya berlatih seperti biasa bagi persiapan ke Sukan Komanwel. Semangat tentunya meningkat (selepas Sukan SEA Vietnam) kerana saya akan ke temasya lebih besar iaitu Komanwel yang berlangsung empat tahun sekali.

"Jadi sudah tentu kami akan berusaha lebih gigih untuk mendapatkan prestasi lebih baik berbanding di Sukan SEA," kata Erry yang juga anak kepada jaguh angkat berat negara, Hidayat Hamidon.

Erry yang beraksi dalam kategori 73kg di Sukan SEA Vietnam 2021 itu berkata, dia menjangkakan persaingan dari atlet India, Sri Lanka dan beberapa negara lain yang mampu memburu penentuan pingat.

"Setakat ini, saya melihat peserta dari India, Sril Lanka dan beberapa lagi atlet yang jumlah angkatan mereka mampu berada di podium," katanya yang melihat pemenang pingat perak Kejohanan Dunia Remaja 2021 dari India, Achinta Sheuli sebagai pencabar utamanya di Birmingham.

Sebelum ini, Erry menempah slot automatik ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 selepas meraih perak kategori 73kg di Kejohanan Angkat berat Kelayakan Sukan Komanwel 2022 di Tashkent, Uzbekistan pada 2021.

Berita Harian X