Isnin, 20 Jun 2022 | 8:42pm
Gambar fail NSTP - Pengerusi kontinjen negara ke Sukan Universiti ASEAN 2022, Dr Pekan Ramli.
Gambar fail NSTP - Pengerusi kontinjen negara ke Sukan Universiti ASEAN 2022, Dr Pekan Ramli.

Sasaran pingat AUG 2022 di ketahui hujung bulan ini

KUALA LUMPUR: Sasaran pingat kontinjen negara ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 dijangka diumum akhir bulan ini selepas Jawatankuasa Pengurusan Kontinjen Institut Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia selesai menganalisis senarai akhir kontinjen negara lain yang turut serta pada temasya itu.

Pengerusinya, Dr Pekan Ramli berkata analisis itu dibuat bagi mengenal pasti sejauh mana kekuatan kontinjen negara lain sebelum memperincikan sasaran pingat kem Malaysia pada temasya di Ubon Ratchathani, Thailand dari 26 Julai hingga 8 Ogos itu.

"Perkara itu (sasaran) masih dibincangkan kerana belum ada senarai akhir, jumlah kontinjen dari luar negara dikeluarkan. Jadi kita akan tunggu dahulu. Selepas melihat kepada senarai tersebut kita akan membuat analisis sejauh mana cabaran atlet luar negara yang akan kita harungi. Sasaran kemudian akan ditetapkan kerana tidak mahu meletakkan sembarangan sasaran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pekan berkata penetapan sasaran pingat perlu munasabah berikutan beberapa kekangan termasuk kebanyakan atlet yang memenangi pingat pada temasya Sukan SEA, Hanoi di Vietnam baru-baru ini difahamkan tidak akan menyertai temasya itu.

"Selain itu pada tempoh tersebut akan ada Kejohanan Silat Dunia di Melaka dan Sukan Komanwel, Birmingham dan ada atlet yang tidak akan menyertai AUG maka kami belum meletakkan sasaran pingat," katanya.

Seramai 285 atlet negara dijangka menyertai 19 acara sukan termasuk badminton, renang, karate, bola sepak, olahraga dan memanah.

Pada edisi AUG 2018 di Myanmar, kontinjen negara menduduki tempat ketiga keseluruhan selepas meraih 37 pingat emas, 43 perak dan 49 gangsa.

- BERNAMA

Berita Harian X