Isnin, 20 Jun 2022 | 6:35pm
Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley (kanan) menjulang Nurul Izzah Izzati Mohd Asri selepas memenangi pingat emas acara 500m ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Asia di New Delhi, semalam.
Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley (kanan) menjulang Nurul Izzah Izzati Mohd Asri selepas memenangi pingat emas acara 500m ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Asia di New Delhi, semalam.

Beasley akui Izzah miliki bakat 'istimewa', julang Alfizar

KUALA LUMPUR: John Beasley mengakui Nurul Izzah Izzati Mohd Asri memiliki bakat 'istimewa' selepas menjadi pelumba wanita pertama negara memenangi pingat emas acara 500 meter (m) ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, India, semalam.

Justeru, ketua jurulatih berbasikal trek negara itu memberikan pujian kepada jurulatih pelumba berkenaan, Noor Alfizar Othman di Kedah yang disifatkan sudah melaksanakan tugas dengan luar biasa apabila berjaya membangunkan beliau biarpun tanpa kemudahan velodrom.

"Saya tidak boleh ambil pujian di atas kejayaan Izzah sebaliknya ia perlu diberikan kepada Fizat (Noor Alfizar) di Kedah. Dia sudah melaksanakan tugas yang menakjubkan dan kami gembira dia kini sebahagian daripada skuad negara.

"Adalah sesuatu yang positif apabila dapat melihat jurulatih seperti Fizat membangunkan bakat seperti Izzah tanpa kemudahan velodrom untuk menjalani latihan di Kedah. Semua persiapan dilakukan di jalan raya dengan bimbingan jurulatih yang kreatif.

"Dia adalah individu yang berhak untuk menerima pujian di atas kejayaan Izzah," kata Beasley kepada BH Sukan.

Nurul Izzah, 19, mencipta sejarah apabila menjadi pelumba wanita pertama negara memenangi emas acara 500m ujian masa individu selepas pencapaian terbaik sebelum ini diraih Fatehah Mustapa yang memenangi perak pada 2008 dan 2015.

Izzah muncul pelumba terpantas dengan catatan masa 35.499 saat (s) sekali gus mengatasi pelumba Korea Selatan, Kim Bomi yang menamatkan saingan di kedudukan kedua (36.374s) manakala wakil tuan rumah, Mayuri Dhanaraj ketiga (36.481s).

Pada saingan ACC kali ini, pelumba muda negara itu turut akan beraksi dalam acara pecut individu pecut berpasukan (bersama Anis Amira Rosidi) dan keirin.

Sementara itu, Nurul Izzah mengakui semakin percaya dengan kemampuan dirinya kejayaan dilakarnya, semalam.

Katanya, selepas tamat saingan yang berlangsung di Velodrom Kompleks Sukan Indira Ghani itu barulah dia sedar dirinya mampu bersaing dengan kelompok pelumba yang lebih hebat dan berpengalaman berbanding dirinya.

"Selepas saya melihat catatan masa pelumba lain, barulah saya tahu di mana kemampuan saya. Alhamdulillah, sebenarnya saya boleh buat (yang terbaik dan meraih emas).

"Saya berpuas hati dengan kejayaan ini namun masih banyak perlu diperbaiki supaya saya mampu memberi kayuhan lebih pantas. Apa pun, saya berterima kasih dan berasa bangga kerana menjadi pelumba pertama meraih emas acara ini di ACC.

"Saya juga sedikit terkejut dan tidak percaya dengan kejayaan yang diraih di sini," kata Izzah yang mula diserapkan dalam skuad pelapis berbasikal trek negara, Januari lalu.

Nurul Izzah yang mencipta kejutan apabila memenangi pingat emas keirin ketika Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan, bulan lalu selepas ini akan mengalihkan fokusnya bagi membuat persiapan menghadapi Sukan Komanwel Birmingham 2022 bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Dia yang sebelum ini mewakili Kedah dalam beberapa kejohanan peringkat kebangsaan termasuklah Sukan Malaysia (SUKMA) tidak hanya beraksi dalam acara trek tetapi turut berlumba bagi acara BMX dan berbasikal bukit.

Berita Harian X