Isnin, 20 Jun 2022 | 5:46pm
Safee ceria bersama kereta Mazda CX-5 yang dimenanginya selepas melakukan `hole-in-one’ atau selubang pada saingan Trofi Mazda 2022 di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam, semalam.
Safee ceria bersama kereta Mazda CX-5 yang dimenanginya selepas melakukan `hole-in-one’ atau selubang pada saingan Trofi Mazda 2022 di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam, semalam.

Safee dapat kereta selepas lakukan `hole-in-one'

SHAH ALAM: Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali membawa pulang Mazda CX-5 dan beberapa lagi hadiah lumayan selepas melakukan pukulan selubang atau 'hole-in-one' pada saingan Trofi Mazda 2022 di Glenmarie Golf & Country Club (GGCC), di sini, semalam.

Bukan setakat membawa pulang 'jentera baharu', malah penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Malaysia pada Piala AFF itu turut memenangi set iron Mizuno JPX921 serta kredit makan dan minum bernilai RM2,000 daripada GGCC selepas mengungguli kategori Medal B kejohanan itu.

Safee membuat pukukan selubang pada lubang ke-15 daripada jarak 155 meter menggunakan klub Miura 6-iron serta bola golf TaylorMade TP5x.

Beberapa hadiah lain yang turut ditawarkan adalah berupa koleksi jam premium dari Eros dan Vostok, barangan eksklusif Mazda, baucer rebat bernilai RM5,000 daripada Mazda dan Kia serta cabutan bertuah.

Kejohanan anjuran Bermaz Motor Trading Sdn Bhd dengan kerjasama Berjaya Sompo Insurance Berhad itu menampilkan 132 penyertaan dan juara keseluruhan menjadi milik Noriskandar Nordin.

Susulan sambutan hangat untuk penganjuran kali ini selepas tujuh tahun tidak dilangsungkan, pengurusan Bermaz Motor Trading Sdn Bhd menjanjikan edisi yang lebih besar untuk penganjuran kali ini.

"Kita akan menyediakan penyertaan lebih besar untuk ahli GGCC selepas ini," kata penganjur dalam satu kenyataan.

Berita Harian X