Isnin, 20 Jun 2022 | 2:56pm
Pelumba muda negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang memenangi emas acara 500 meter ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di New Delhi, semalam. - Foto ihsan FB John Beasley
Pelumba muda negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang memenangi emas acara 500 meter ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di New Delhi, semalam. - Foto ihsan FB John Beasley

Menteri bangga kejayaan Nurul Izzah di New Delhi

KUALA LUMPUR: Kecemerlangan pelumba muda negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang meraih emas acara 500 meter ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di New Delhi, semalam mencuri perhatian Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menerusi laman Twitternya pagi ini, Ahmad Faizal mengucapkan tahniah kepada Nurul Izzah yang melakar sejarah sebagai pelumba wanita Malaysia pertama memenangi emas di kejohanan itu selepas mencatat 35.499 saat (s) di Velodrom Kompleks Indira Gandhi, New Delhi.

"Syabas! Pelumba bintang muda berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mencipta detik bersejarah sukan berbasikal negara apabila berjaya meraih pingat emas acara 500m ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di New Delhi 2022," katanya.

Menurut laman rasmi kejohanan www.atcc2022.com, pelumba berusia 19 tahun itu mengatasi Kim Bomi dari Korea Selatan di kedudukan kedua dengan catatan 36.374s dan wakil tuan rumah, Mayuri Dhanaraj di tempat ketiga dengan masa 36.481s.

Pada akhir Mei lalu, Nurul Izzah mencipta sensasi apabila meraih emas acara pecut wanita elit pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2022 di Velodrom Nasional Nilai, menewaskan pelumba berpengalaman negara Anis Amira Rosidi yang mewakili Perlis.

- BERNAMA

Berita Harian X